Tidak dinafikan, memang bahaya jika membiarkan anak bermain telefon ibu bapa tanpa pengawasan. Kenapa? Kerana dengan hanya satu ‘klik’, macam-macam boleh terjadi. Seperti perkongsian oleh seorang ibu yang dikenali sebagai Sharifah Nur Adleen melalui laman sosial Facebook beliau, apabila anaknya tidak sengaja membuat pesanan makanan melalui aplikasi penghantaran makanan, Foodpanda.
Kalau setakat dua tiga puluh ringgit, tidak mengapa. Tapi sampai beratus-ratus! Menurut postingnya di Facebook, anaknya telah membuat pesanan beberapa menu iaitu, 12 tomyam seafood, 1 sup tulang lembu, 2 kerabu daging dan 4 sup daging. Terkejut dibuatnya bila rider Foodpanda sampai depan pintu rumah.
Semestinya, dengan jumlah pesanan yang banyak itu, jumlah yang perlu dibayar juga tinggi iaitu sebanyak RM226.76! Jika pembayaran dibuat secara online banking, transaksi tidak akan berjaya kerana memerlukan kata laluan untuk mengakses ke portal bank. Namun, pembelian ini dilakukan menggunakan tunai semasa penghantaran (COD). Nak tak nak, si ibu terpaksa juga membayarnya!
Perkongsian tersebut telah mendapat perhatian netizen yang terhibur dengan apa yang telah berlaku. Rata-rata komen netizen turut memberi nasihat supaya ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan kata laluan bagi mengakses aplikasi tersebut supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.
Sumber: Sharifah Nur Adleen