Makan secara sihat atau diet merupakan impian bagi setiap wanita. Hal ini merupakan salah satu cara untuk memperbaiki semula pola pemakanan seseorang itu. Ini bertujuan untuk meningkatkan dan membaiki sistem kesihatan dalam badan.
Antara pemakanan secara sihat termasuklah melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Selain itu, mengurangkan pengambilan lemak yang berlebihan kerana ianya tidak baik untuk kesihatan.
Buah-buahan dan juga sayuran merupakan salah satu makanan segar yang perlu diamalkan dalam setiap pemakanan kerana mengandungi nutrien yang bertindak sebagai antioksiden. Dengan ini, kita dapat mengurangkan kerosakan sel-sel dalam badan yang boleh menjadi penyebab kanser. Ia juga boleh dijadikan sebagai snek berkhasiat kerana rendah dengan lemak, rendah kalori dan tidak mengandungi kolesterol.
Manfaat bijirin penuh terhadap kesihatan adalah dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, diabetes dan juga sesetengah kanser. Malah, bijirin juga dapat membantu dalam penurunan berat badan sekaligus menyelesaikan masalah penghadaman. Bijirin penuh juga mengandungi lebih banyak nutrien berbanding bijirin halus. Ia juga mengandungi lebih banyak serat makanan, vitamin B, vitamin E dan juga zat besi.
Kepentingan minum air 6 hingga 8 gelas setiap hari adalah untuk mengawal suhu tubuh dan perkumuhan. Air kosong dapat membantu mengawal berat badan kita. Hal ini kerana air boleh meningkatkan rasa kenyang di samping meningkatkan kadar metabolik badan. Air sangat penting untuk badan supaya kita kekal hidrat agar dapat menigkatkan daya fikiran.
Bagi sesetengah orang yang memilih untuk mengamalkan pemakanan secara sihat, mereka memilih untuk minum air kosong. Namun, ada juga sesetengah individu yang mengambil kafein secara sederhana. Kafein yang terlalu banyak dalam tubuh badan boleh memudaratkan kesihatan. Oleh itu, untuk pemakanan yang sihat, pakar mengesyorkan untuk minum kafein tidak lebih daripada 400 gram sehari.
Ini dia beberapa tips untuk makan secara sihat. Pelbagai manfaat yang akan diperoleh sekiranya kita mengamalkan pemakanan yang sihat. Mungkin kesannya bukan dalam jangka masa yang pendek, namun siapa tahu untuk jangka masa yang panjang akan ada kebaikan sekiranya kita konsisten. Semoga masyarakat kita akan lebih sedar tentang betapa pentingnya pemakanan seimbang, kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat.
Sumber: hellodoktor
Baca juga: Wanita Berjaya Turun Berat 24KG & Turut Kongsi Tips, Tapi Ini Pula Yang Dipandang Netizen…