Tak semua orang makan dan menyukai hati, pedal serta kaki ayam. Malah ramai dalam kalangan kita sewaktu membeli ayam, mereka minta penjual ayam asingkan terus bahagian-bahagian tersebut. Mungkin disebabkan rasanya yang sedikit hanyir membuatkan ramai yang kurang menyukainya.
Namun Ummi Syuhada ada berkongsi cara goreng hati, pedal dan kaki ayam bercili yang betul. Kalau ikut cara ini pasti hilang segala rasa hanyir tu. Bahkan rasanya juga lebih sedap dan lembut.
Nak cuba cara ini? Jom ikuti perkongsian di bawah ini.
Cara Masak Hati, Pedal Dan Kaki Ayam Goreng Cili Yang Mudah & Sedap
Bahan-bahan:
- Hati, pedal dan kaki ayam
- Cili kering | tak payah buang biji
- 4 ulas bawang merah
- 2 inci halia
Cara Penyediaan:
- Kisar bawang merah, cili kering dan halia. Kisar kasar je biar berkepung sikit halia tu. Memang ada kelainan rasanya.
- Basuh bersih hati, pedal dan kaki. Rebus lama sikit dengan garam dan kunyit sampai kaki tu lembut. Buang air rebusan dan toskan dalam tapisan.
- Goreng manja sekejap dengan api besar sebelum tumis bahan. Sekadar nak ambil bau gorengan dan menambah kesedapan. Taknak goreng pun takpe.
- Angkat gorengan, tumiskan bahan kisar. Sekejap je sebab guna minyak yang sama. Kalau guna api besar, kacau-kacau selalu, cepat siap. Kalau api kecil, tutup kuali supaya tak merecik. Bahan tumis sepatutnya lebih kasar.
- Nampak macam sambal tapi rasanya lain. Tambah garam dan perasa je, pasti ada kelainannya.
- Siap untuk dimakan.
Tips supaya tak hanyir:
- Pedal tu seeloknya kikis bersih lemak-lemak yang melekat. Tarik kulit dalam bahagian 2 bonggol tu hiris sikit. Bahagian tapak kaki kalau ada kerak, hiris buang. Bila goreng tak meletup sangat, selain nampak hygiene.
Mudah sahaja kan nak masak hati, pedal dan kaki ayam goreng bercili ni. Kalau korang sebelum ni tak makan hati dan pedal, mungkin boleh cuba cara ini. Pasti akan menjadi makanan kegemaran korang dah lepas ni.
Selamat mencuba!
Kredit: Ummi Syuhada
Baca juga: “Potong Kecil-Kecil Lagi Sedap”, Ini Dia Cara Mudah Masak Kicap Hati Ayam. Memang Padu Teruk!