Beras Basmati merupakan beras yang berbeza daripada beras yang biasa kita makan. Perbezaanya boleh dilihat dari segi bentuknya yang lebih panjang dan sangat halus. Rasanya juga lebih lembut jika dibandingkan dengan beras biasa.
Orang Malaysia biasanya menggunakan beras basmati ini untuk membuat Nasi Briyani dan Nasi Arab. Walaupun beras basmati ini terkenal dengan rasanya yang lembut dan memuaskan bila makan namun ada juga sesetengah orang mengalami masalah ketika memasak menggunakan beras ini.
Bagi anda yang sering gagal memasak menggunakan beras basmati ini, apa kata anda cuba tips di bawah ini supaya berasnya dimasak dengan sempurna dan tiada masalah.
Rendam beras sekitar 20 hingga 30minit bersama 1 sudu kecil garam sebelum memasak nasi seperti biasa, supaya beras kembang dan panjang elok. Cuci beras terlebih dahulu sebelum rendam.
Sukatan air untuk beras basmathi adalah 1 cawan beras bersamaan 1 1/4 air atau mana-mana campuran lain seperti santan atau susu cair.
Cara nak masak beras ini, pastikan air atau cecair untuk memasak beras ini mendidih terlebih dahulu. Selepas itu, baru boleh masukkan beras. Dengan menggunakan cara ini juga, beras tidak akan mudah patah kerana tidak terendam terlalu lama. Beras akan cepat masak dalam lebih kurang 10 hingga15 minit sahaja.
Selepas beras sudah dimasukkan, besarkan sedikit api dan kacau rata semasa air masih ada. Sekiranya air dah kering, anda tidak perlu kacau. Kecilkan api dan tutup periuk sehingga beras masak dengan sempurna.
Sekiranya nasi sudah masak, rehatkan selama 5 hingga 10 minit. Jangan terus buka tudung periuk, biarkan nasi mengewap di dalam periuk dan kembang cantik. Selepas itu, karih nasi dari tepi periuk ke tengah. Untuk menggebukan nasi. Gunakan garfu atau sudip, supaya nasi tidak hancur dan patah.
Mudah sahaja kan cara masak nasi guna beras basmati ini. Kalau ikut caranya yang tepat dan betul, pasti menjadi elok nasi anda! Jadi selepas ini, bolehlah ikut cara ini ya!
Baca juga: Resepi Nasi Dagang Terengganu Guna Beras Basmathi, Lebih Sedap & Lembut Je!