Kencing manis bukan sahaja boleh terjadi kepada orang dewasa, namun boleh juga terjadi kepada anak-anak dalam usia yang masih muda. Seperti mana perkongsian oleh Klinik Dr Muhaimin ini, beliau pernah berdepan dengan pesakit berusia 11 tahun yang sudah demam selama 4 hari dan masih belum kebah.
Selepas beberapa pertanyaan kepada ayah tiri pesakit, dia risau sekiranya anak tirinya itu mempunyai penyakit yang sama seperti abangnya. Baru berumur 13 tahun, namun sudah mempunyai kencing manis. Ibu bapa perlu bertanggungjawab dalam memastikan pemakanan anak-anak mereka. Ikuti perkongsian lengkap oleh doktor ini di bawah.
Pesakit perempuan berumur 11 tahun masuk dengan terhuyung-hayang. Fizikalnya seperti pelajar sekolah menengah. Duduk dengan penuh keletihan. Pernafasannya cukup laju.
“Masalah apa ni?”
“Demam doktor. Dah 4 hari. Bagi ubat tapi tak kebah.” Jawab ayah tiri pesakit.
“Takut jadi macam abang dia baru-baru ni.”
“Abang dia sakit apa?”
“Kencing manis. Tinggi sampai tak boleh baca. Umur baru 13 tahun.”
“Abang dia masuk ICU hari tu.” Suhu badan saya periksa. Normal.
Oksigen dalam darah 98%. Tapi pernafasan pesakit cukup laju.
“Ada muntah-muntah?”
“Ada.”
Gula pun diperiksa.
Hi. Itu yang keluar di skrin. Tinggi yang tidak mampu dibaca.
“Mak ayah dia ada kencing manis?” Soal saya.
“Tak ada”.
“Macam mana boleh kena kencing manis ni. Muda lagi ni.”
“Kuat makan meggi.”
“Air kotak? Air tin?.”
“Ada juga doktor. Puas larang dah. Dia beli senyap-senyap. Bila periksa dalam bilik jumpa la makan yang disorok.”
Pesakit ini berkemungkinan mengalami “diabetic ketoacidosis”. Ia adalah keadaan kecemasan di mana pesakit mengalami paras glukos yang tinggi dalam darah dengan pernafasan yang cepat serta dalam keadaan keliru atau koma.
Pemakanan dan gaya hidup kita menentukan tahap kesihatan kita pada masa hadapan. Obesiti, pemakanan kurang sihat dan gaya hidup tidak aktif merupakan isu besar dalam masyarakat kita. Peningkatan kes penyakit kronik di kalangan kanak-kanak dan remaja sekarang sangat membimbangkan.
Kesihatan kita bergantung kepada apa yang kita makan sekarang. Kerana itu ada kalam hukama’ berbunyi ; “perut itu ibu segala penyakit.”
Nota: Abaikan tarikh pada skrin. Sebab saya malas nak tukar setting.
Sumber: Klinik Dr Muhaimin