
Terbaharu, Ustazah Asma’ Harun tampil memperbetulkan salah faham tentang penglibatan dengan syarikat McDonald’s Malaysia baru-baru ini.
Dia berkata, dia hanyalah memenuhi jemputan ceramah seperti jemputan masjid-masjid biasa, dan McD ada di sana untuk memberi bantuan kepada asnaf terlibat.
“Saya menerima jemputan ini daripada pihak Markaz Al Qarahdaghi untuk berkuliah di Masjid Al-Ikhlas Seksyen 13. Saya hadir bagi memenuhi undangan, sama seperti undangan dari masjid-masjid yang lain.
“Manakala pihak McDonals’s telah menyampaikan bantuan kepada Para Asnaf sebelum sesi ceramah saya, kemudian turut memuat naik di laman rasmi mereka.”Terima kasih kepada semua yang menyelidik dan memahami apa yang sedang berlaku, tidak terus menyerang dan memanaskan.
“Saya tidak dapat membalas satu persatu mesej yang masuk dengan cara baik atau sebaliknya. Cukuplah kenyataan ini diterima tanpa memaksa saya dengan soalan susulan atau sangkaan baru,” kata Asma’ Harun dalam kenyataan di laman Facebook.
Tambahnya lagi, dia juga menyeru agar orang ramai tidak meninggalkan kata-kata kesat dan keji lebih-lebih lagi apabila umat Islam berada dalam 10 malam terakhir.
“Rasa terkilan kerana Isu ini dipanaskan kembali dalam fasa 10 hari terakhir Ramadan, saya boleh terima apabila diri saya dikutuk, diejek, dihina, diperlekeh dan ditertawakan, apa yang saya lebih rasa kasihan adalah kepada mereka yang juga Muslim namun terjebak dengan mengeluarkan perkataan keji,” katanya lagi.
Sumber: Asma’ Harun