Petua dan tips dalam masakan amat berguna kepada sesiapa sahaja yang ingin memasak. Hal ini kerana, ia amat membantu anda untuk membaik pulih masakan dan juga untuk menjadikan masakan anda lebih seimbang dan sedap. Jika anda tersilap sedikit dalam masakan, jangan cepat melatah. Ada banyak cara untuk membaiki masakan anda. Dengan cara ini anda dapat mengelakkan sebarang pembaziran.
Terdapat beberapa petua dalam masakan yang mungking anda terlepas pandang dan ada juga yang belum tahu. Jom kita lihat petua dalam masakan yang dikongsikan oleh Salmah Muhamad di Facebook.
Masukkan timun jika masakan asam pedas atau masak lemak anda terlalu pedas. Ini kerana, timun dapat mengurangkan rasa pedas.
Jangan letak garam ketika memasak daging dan ayam jika belum betul-betul empuk. Ini bagi mengelakkan daging menjadi liat dan lambat empuk akibat tindak balas garam jika diletakkan terlalu awal dalam masakan.
Elak guna api yang terlalu kuat ketika memasak menggunakan santan. Ini kerana ramai yang percaya menggunakan api dengan kuat dapat mempercepatkan proses santan pecah minyak. Gunakan api yang perlahan atau sederhana.
Gula merah bukan sahaja memberikan rasa manis dalam masakan malah membuatkan sambal anda menjadi lebih sedap dan menarik. Ia juga berfungsi mengelakkan daripada sakit perut yang disebabkan makan sambal pedas.
Buah keras berfungsi memekatkan masakan dan memberi aroma yang sedap serta menyelerakan dalam masakan. Jangan masukkan buah keras yang berlebihan kerana ia mampu membuatkan seseorang sakit perut ketika menjamah masakan anda. Sukatan yang paling baik adalah sebiji buah keras untuk seekor ayam. Contohya seperti masakan berkuah seperti kari, kurma dan masak merah.
Masukkan beberapa keping asam gelugor ke dalam kuali ketika menggoreng ikan. Ikan tidak akan melekat di kuali dan lebih mudah diangkat.
Ambil dan masukkan bawang putih ke dalam tempat simpanan beras. Boleh juga dimasukkan ketika memasak nasi. Ini akan membuatkan beras tahan lebih lama dan membuatkan beras atau nasi berbau wangi.
Potong tebu kecil-kecil dan masukkan ke dalam air rebusan sup tulang diikuti dengan bahan rempah sup. Sup tulang akan lebih ‘kaw’ dan bertambah sedap.
Rendam ikan dengan air asam jawa. Kemudian, potong limau kasturi dan gaul bersama ikan berserta air asam jawa. Biarkan seketika dan bau hanyir ikan akan hilang.
Masukkan air kelapa ke dalam kelapa parut dan biarkan seketika. Kemudian, barulah diperah kelapa tersebut ke dalam masakan. Ini akan membuatkan masak lemak lebih sedap dan terasa kelainannya.
Semua tips ini sangat berguna kepada ibu-ibu dan sesiapa yang sedang belajar memasak. Jika tips ini kita amalkan, kemungkinan masakan kita akan rasa lebih sedap dan enak.
Selamat Mencuba!
Kredit: Salmah Muhamad Via kongsi resepi + petua + hiasan + taman kebun
Baca Juga: Bekas Peniaga Kongsi Petua ‘Rahsia’ Masak Sambal Nasi Lemak Yang Lebih Enak & Buat Orang Ketagih!