Asyik makan dan buat kek marble je kan? Jadi apa kata kali ini basahkan tekak dengan puding roti marble pula. Petang-petang makan sambil tengok televisyen, sekejap sahaja dah licin kan.
Memang sedap tau. Nak cari dekat kedai pun tak ramai yang buat puding ni. Jadi jom buat sendiri je. Mana tahu lagi sedap dari beli kan?
Resipi Puding Roti Marble
Bahan-bahan puding roti marble:
- 10 gram agar-agar bertali
- 3 cawan air
- 1 cawan gula
- 1 tin susu cair
- 3 keping roti gardenia buang yg tepinya
- 1 sudu kecil garam
- 1 sudu mkn marjerin
- Pewarna ikut suka
Cara penyediaan puding roti marble:
- Basuh agar-agar kemudian masak bersama 3 cawan air.
- Masak sehingga agar-agar menjadi hancur baru masukkan gula.
- Biar gula larut seketika. Kisarkan roti dengan susu cair sehingga hancur kemudian tuangkan perlahan-lahan dalam agar-agar tadi sambil kacau.
- Masukkan juga 1 sd makan marjerin. Tunggu hingga mendidih baru padam api.
- Tapiskan dalam jug kemudian bahagikan kepada 2 bahagian. Satu warna asal satu lagi warna ikut suka.
- Basahkan loyang, kemudian ambil satu senduk warna asal letak di tengah-tengah loyang. Kemudian ambil satu senduk lagi warna yang anda suka, dan letakkan atas warna asal tadi. Ulang proses ini sehingga habis adunan. Perlu buat cepat-cepat sebab adunan ini cepat mengeras.
- Apabila dah siap boleh simpan dalam peti ais sehingga beku dan sejuk.
- Siap untuk dihidangkan.
SELAMAT MENCUBA!
Sumber: Siti Nardina Via MATJHI