Siapa yang menggemari makanan korea pasti akan tahu menu popular di Korea ini, Soondubu Jigae atau Tofu Beef Stew. Siapa yang pernah ke restoran makanan Korea, DubuYo pasti pernah merasainya. Memang sangat nikmat bila dapat hirup kuah panas-panas.
Rupanya tak susah mana jika anda nak cuba buat sendiri di rumah. Lagi puas hati bila buat sendiri sebab boleh letak lauk banyak-banyak. Tak perlu ke restoan Korea dah selepas ini semata-mata untuk makan Soondubu Jigae. Jom lihat resepi lengkap di bawah hasil perkongsian oleh Nur Fairuza.
Resepi Soondubu Jigae (Tofu Beef Stew) Ala DubuYo, Sebijik Rasa Sama!
Bahan-bahan (untuk 2 orang makan):
- 2 ulas bawang putih (tumbuk halus)
- Halia sedikit (tumbuk halus)
- 1/2 kiub pati ikan bilis
- 1 sdm pes gochujang
- Daging (hiris nipis)
- Tofu jepun lembut
- Cendawan enoki
- Garam
Cara-cara:
- Tumis bahan tumbuk (bawang putih dan halia) dengan sedikit minyak. Tak perlu garing.
- Kemudian masukkan pes gochujang. Memang akan sedikit berketul, kacau-kacau.
- Masukkan secawan air atau ikut suka nak cair atau pekat. Kacau sehingga pes larut.
- Masukkan kiub pati ikan bilis.
- Masukkan cendawan enoki, daging dan tofu. Kuatkan api sekejap sambil letakkan garam. Garam tak perlu banyak sebab pes dah berperisa.
- Selepas dah menggelegak atau daging masak, tutup api. Taburkan daun bawang yang dihiris dan juga biji bijan. Siap!
- Boleh juga pecahkan telur dalam tu dan makan dengan nasi.
Kredit: Nur Fairuza