Sejak COVID-19 melanda dunia pada akhir tahun 2019, ramai yang berada dalam kesusahan. Tidak mampu meneruskan kelangsungan hidup memandangkan ramai yang hilang sumber pendapatan. Banyak bisnes dan kilang terpaksa ditutup.
Peritnya kehidupan saat ini memang tidak dapat dinafikan. Ada yang sanggup melakukan pelbagai kerja demi sesuap nasi. Namun yang lebih menyedihkan lagi, ada yang terpaksa mencuri di Supermarket dan kedai runcit bagi memastikan perut anak-anak diisi.
Hal tersebut tetap salah namun bagi anda yang buntu atau berada dalam kesusahan. Mulai saat ini jangan melakukan perkara-perkara yang membawa kemudharatan. Anda boleh naikkan bendera putih di rumah anda.
Jangan sesekali ambil tindakan yang merugikan diri sendiri dan keluarga. Tidak perlu merayu, tidak perlu rasa malu. Hanya kibarkan kain putih. InshaAllah pasti ada yang membantu.
Apa simbol atau maksud yang tersembunyi sebenarnya? Sewaktu zaman perang, bendera putih ini bermaksud tanda menyerah dan bendera putih ini digunakan kerana lebih mudah dikenali sewaktu berada dalam pertempuran.
Selain itu, sebahagian besar menggunakan kain putih kerana ia merupakan sesuatu yang mudah diperolehi pada ketika itu.
Namun pada hari ini, saat ini ramai yang menyarankan rakyat Malaysia untuk menaikkan bendera putih ini sebagai tanda anda berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan makanan.
Semoga dengan usaha tersebut, ia sedikit sebanyak dapat menyeru orang ramai agar lebih prihatin dan memastikan jiran tertangga tidak berada dalam kelaparan.