Di George Town, Pulau Pinang, sebuah restoran nasi kandar yang terkenal iaitu Restoran Hameediyah telah mengambil inisiatif untuk mengagihkan bungkusan makanan kepada golongan yang memerlukan.
Selain itu, gimik yang dilakukan oleh pekerja restoran itu yang berpakaian kemeja putih, bersongkok dan berkain pelikat sewaktu mengandar nasi di Jalan Penang turut menarik perhatian.
Pemilik Restoran Hameediyah, Ahamed Seeni Pakir Abdul Sukkoor, berkata pihaknya tampil mengagihkan 250 bungkusan nasi berlauk ayam berikutan ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Beliau juga turut mengatakan ini bukan juga kali pertama mereka memberikan bantuan kepada yang perlu.
Sambil memberi bantuan, beliau juga ingin memberi pendedahan kepada sejarah masakan India Muslim, terutamanya Nasi Kandar.
“Pandemik ini menyebabkan ramai yang terkesan dan kami mengambil inisiatif dengan memberi makanan percuma kepada golongan kurang berkemampuan seperti gelandangan.”
“Pada masa yang sama, kami juga mahu mengembalikan nostalgia cara nasi kandar dijual satu masa dahulu,” katanya.
Seorang gelandangan yang dikenali sebagai Din berasa amat berterima kasih oleh bantuan itu kerana dapat mengalas perutnya.
Sudah tiga tahun hidup sebagai gelandangan di Jalan Penang, Din sudah lama ingin merasai nasi kandar.
“Mahu beli tapi tiada wang, hanya harapkan sumbangan orang ramai sahaja dan syukur kami diingati,” katanya.
Restoran Hameediyah yang berusia 115 tahun, direkodkan sebagai restoran nasi kandar tertua di dalam Malaysia Book of Record pada 2020.
Kredit: Restoran Hameediyah
Baca Juga: Para Atlet Malaysia Mendapat Teh Tarik Dan Makanan Percuma Di Teh Tarik Place Untuk Sepanjang Hayat!