Pada 17 September yang lalu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah mengadakan Lawatan Khas ke United Kingdom.
Merupakan kali kedua mengadakan Lawatan Khas ke United Kingdom sejak Baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Seri Paduka Baginda berdua turut beristirahat di London sebelum berangkat pulang ke tanah air.
Sambil beristirahat di ibu kota tersebut, Seri Paduka Baginda berdua jelas masih lagi merindui masakan Malaysia meskipun berada jauh dari negara tercinta.
Dikongsikan melalui laman Istana Negara di Facebook, KDYMM Yang di-Pertuan Agong berkenaan telah menikmati santapan tengah hari di restoran Gopal’s Corner, di Market Hall, London, United Kingdom.
Dimiliki oleh rakyat Malaysia iaitu Sugendran Gopal, yang telah bermastautin di London, restoran dimilikinya amat dikenali dengan pelbagai hidangan Malaysia seperti roti canai dan kari kepala ikan.
Sugendran yang pernah dijemput untuk sebuah majlis minum petang di Malaysian High Commission di London pada awal ketibaan KDYMM Yang di-Pertuan Agong di United Kingdom, berkongsi bahawa dia begitu berbesar hati kerana telah dijemput.
Malah pada majlis tersebut, KDYMM Yang di-Pertuan Agong tidak berhenti memuji masakan dari restorannya. Menurut Sugendran, antara makanan yang dipesan Seri Paduka Baginda berdua adalah mi goreng, murtabak dan juga roti canai dari restorannya.
Tambahnya, KDYMM Yang di-Pertuan Agong menghargai apa yang dilakukan olehnya dan rakan-rakan di negara tersebut.
Berbesar hati dan senang, Sugendran berasa bersyukur kerana mempunyai Raja yang begitu prihatin dan berjiwa rakyat.
Menurut satu lagi perkembangan dari Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua telah selamat pulang ke tanah air selepas menamatkan Lawatan Khas ke United Kingdom.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua telah disambut oleh Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Kini, Seri Paduka Baginda berdua berkenan sedang menjalani kuarantin kendiri selaras dengan ketetapan Prosedur Operasi Standard oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba.)
Alhamdulillah, Seri Paduka Baginda telah selamat pulang ke tanah air tercinta. Semoga terus diberikan kesihatan yang baik dan berpanjangan.
Kredit: Istana Negara, New Straits Times
Baca Juga: Lori Milo Buat Kemunculan Di Istana Negara, Selepas KFC dan McDonald’s