Coklat merupakan kegemaran orang ramai. Dengan pelbagai pilihan dari pelbagai jenama, ia antara pencuci mulut yang mudah didapati dan sangat digemari.
Seperti makanan yang lain, coklat perlu disimpan dalam suhu dan keadaan yang sesuai bagi memastikan ia masih lagi boleh dimakan. Jika tersalah simpan, lain pula jadinya.
Di laman Facebook, seorang wanita, Puteri Ayahnda berasa hairan apabila melihat rupa ‘aneh’ coklat yang dibeli. Dari gambar yang dikongsikan, jelas makanan tersebut tampil lain dari yang lain kerana telah dipenuhi dengan tompokan putih yang berjaya membingungkannya.
Makan apa tak jadi hari ini.
Kenapa coklat jadi macamni eah?
Mujur tak bagi anak makan lagi.
Rupa coklat tersebut terus mematikan niatnya untuk menikmatinya. Tertanya bagaimana perkara tersebut boleh berlaku, wanita itu bersyukur kerana anaknya belum lagi sempat untuk memakannya.
Menjengah di ruangan komen, ada beberapa warganet yang berkongsi kejadian sama yang pernah terjadi pada mereka. Hilang selera, ada yang sanggup membuang satu pek besar coklat gara-gara melihatnya dalam keadaan ‘rosak’.
Namun, rata-rata warganet berpendapat bahawa ianya masih lagi boleh dimakan oleh wanita itu. Menurut mereka, apa yang terjadi adalah fenomena ‘fat blooming’ yang biasa terjadi pada coklat, ia terjadi kerana faktor suhu.
Jelas perkara ini merupakan fat blooming yang sering terjadi pada coklat. Sesuatu yang normal, orang ramai tidak perlu khuatiri jika terjadi. Walaupun rupa coklat aneh, rasanya tetap sama. Lain la ceritanya jika rasanya dah lain dan baunya pula kurang menyenangkan.
Kredit: Puteri Ayahnda via MATJHN OFFICIAL
Baca Juga: “Beranak Tak Lepas Ni..” Warganet Keliru Melihat Rupa Ayam Istimewa, Sampai Takut Nak Makan.