Kebersihan merupakan salah satu perkara yang patut dititik beratkan oleh semua orang. Tidak kira sama ada dalam aspek apa sekalipun. Bukan sahaja dalam soal ibadah malah dalam soal pemakanan juga sangat penting. Pastikan makanan yang anda sediakan atau masak dalam keadaan bersih dan selamat.
Makanan yang bersih pasti akan menjamin kehidupan yang sihat. Bukan sahaja menyihatkan malah kehidupan juga akan menjadi lebih aktif dan bahagia. Jika sihat tubuh badan kita maka setiap pekerjaan atau aktiviti pada hari tersebut akan berjalan dengan lancar dan tenteram. Oleh sebab itu, sentiasalah jaga kebersihan, lebih-lebih lagi jika kita membuka restoran atau menjual makanan.
Berkenaan dengan kebersihan restoran ini, terbaharu ada seorang lelaki (dirahsiakan namanya) yang sempat berkongsi pengalaman dirinya yang menemui ulat pada roti canai yang dimakannya. Melihat situasi tersebut, pastinya ianya sesuatu yang sangat menggelikan. Mana tidaknya, jelas kelihatan seekor ulat pada roti canai berkenaan yang sudah disaluti kuah. Tidak dapat diketahui dari mana ulat itu sebenarnya, sama ada dari roti atau kuah memandangkan kedua-duanya kelihatan sudah bercampur.
Malah menurut lelaki ini, katanya dia sudah memberitahu kepada jurujual kedai berkenaan dan jurujual tersebut hanya mengambil makanan yang ada ulat sahaja. Dan ingin menggantikan yang baharu dan kemudiannya ditolak. Walaupun begitu, penjual tersebut tetap hantarkan juga.
Kedai yang terletak di negeri Utara ini nyatanya sudah diketahui ramai. Malah ramai yang meninggalkan komen mengatakan orang negeri tersebut pun tidak mengunjungi kedai berkenaan dan kedai tersebut sudah beberapa kali ditutup kerana kebersihan. Tidak kurang juga ada yang meninggalkan komen mengatakan dia pernah makan nasi ayam di kedai tersebut dan turut menemui ulat pada nasi ayam yang dimakannya.
Malah lebih teruk lagi adalah apabila ada salah seorang pelanggan kedai tersebut yang berkongsi pernah mengalami cirit birit selepas pulang ke Kuala Lumpur gara-gara makan di kedai tersebut. Malah kalau datang kembali ke negeri tersebut selepas ini, dia tidak akan makan di kedai tersebut lagi.
Tanpa diberitahu, pasti ramai yang boleh agak di mana kedai ini. Namun nasihat kami adalah, pastikan makanan yang disediakan berada dalam keadaan bersih dan selamat. Pastikan tiada sebarang bendasing atau ulat bagi memastikan tidak berlaku keracunan makanan. Keracunan makanan ini bukanlah sesuatu perkara yang perlu diambil mudah sebenarnya. Sangat penting dan sangat perlu dititikberatkan kerana ia boleh membawa maut.