Kuih apam sememangnya sedap dan sesuai dimakan untuk sarapan pagi dan minum petang. Ia sesuai digandingkan bersama secawan teh panas. Manis, rasanya sudah tentu menimbulkan rasa nostalgia.
Selain dibeli di gerai, anda juga boleh cuba untuk menyediakannya sendiri dengan mengikuti resepi apam pisang daun rambai yang telah dikongsikan oleh Mas Cotek di laman Facebook. Ringkas sahaja, jom baca secara lebih lanjut.
Cara Buat Apam Pisang Daun Rambai, Kuih Sesuai Untuk Dijadikan Sarapan Pagi
Bahan-bahan
- 1 cawan pisang (lenyek baru sukat)
- 1 cawan gula
- 2 1/2 cawan tepung gandum
- 3 sudu besar marjerin
- 2 sudu kecil soda bikarbonat
- 1 sudu kecil cream of tartar (dapatkan di sini)
- Daun rambai atau daun pisang
Cara penyediaan
- Kisar pisang, soda bikarbonat, cream of tartar, gula dan marjerin.
- Tuang bahan yang telah dikisarkan tadi ke dalam bekas, kemudian masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul rata.
- Sapu daun rambai daun pisang dengan sedikit minyak.
- Sudukan dua sudu besar adunan, masukkan ke dalam daun dan bungkus kemas (bungkus seperti nasi lemak atau pulut inti).
- Kukus selama 15 minit.
- Siap untuk dinikmati.
Sememangnya ringkas dan mudah sahaja resepi apam pisang daun rambai ini. Sedap sangat bila dimakan, di bulan puasa ia juga sesuai disediakan sebagai juadah berbuka puasa.
Selamat mencuba!
Kredit: Mas Cotek
Baca Juga: Cara Buat Kuih Kacang Hijau, Mudah & Masih Lagi Menjadi Kegemaran Ramai