Pengumuman sambutan Hari Raya pada tahun ini memang cukup mengejutkan. Ia membuatkan ramai umat Islam kelam kabut untuk membuat persiapan saat akhir.
Barang dapur habis terjual di pasar raya. Namun, yang paling terkesan dengan pengumuman sambutan Hari Raya last minute pada Ahad lepas semestinya penjual makanan Hari Raya seperti rendang, ketupat, lemang, dan sebagainya.
Apa tidaknya, pelanggan pasti mengejarkan tempahan yang dibuat supaya disiapkan sehari lebih awal berbanding tarikh yang dijangka sebelum ini.
Itulah realiti yang perlu dihadapi seorang pengguna di TikTok yang berkongsi nasibnya yang kurang baik ketika membeli lemang.
Menerusi hantaran video @sukriyusoff, dia sangat terkejut apabila mendapati lemang yang dibelinya hanya diisi separuh, manakala separuh lagi jelas kosong.
Ramai netizen turut terhibur melihat keadaan lemang angin yang dibeli pemuda ini akibat sambutan Raya mengejut.
@sukriyusoff Tak ckup ni..haha..
Memandangkan sambutan Raya tahun ini kelam kabut, netizen menganggap penjual tak sengaja untuk lakukan sedemikian. Ia mungkin berlaku disebabkan daun yang terlipat di dalam buluh sehingga membuatkan beras pulut tersekat.
Seorang netizen yang juga berniaga lemang akui sangat mencabar untuk siapkan tempahan lemang pada saat akhir. Menurut penjual lemang ini, dia perlu menyiapkan lebih 300 batang lemang sehingga jam 11 pagi keesokan harinya!
Disebabkan insiden panik raya tahun ini, ramai yang turut alami nasib yang sama seperti pelanggan yang terbeli lemang angin ini.
Menurut sesetengah netizen, mereka juga mendapat lemang yang diisi separuh penuh walaupun membayar sehingga RM 19 sebatang.
Melihatkan nasib kurang baik pelanggan ini, ramai netizen yang memberi cadangan kepadanya untuk meminta peniaga supaya membuka buluh lemang sebelum bersetuju untuk membeli.
Cara ini juga akan memudahkan si pembeli untuk nikmatinya di rumah, tak perlu bersusah payah buka pakai parang!
Kalau nak tahu, kita juga pernah kongsikan tips membeli lemang supaya tak mudah ditipu. Jangan lupa baca,ya!
Rasanya pasti ramai yang turut alami nasib yang sama seperti pemuda ini. Namun, pada tahun ini janganlah kita terlalu ambil hati dengan kekurangan para peniaga dalam menyiapkan tempahan Hari Raya.
Sedangkan kita pun kelam kabut, apatah lagi mereka yang perlu siapkan puluhan mungkin ratusan tempahan pada saat-saat akhir.
Apa pengalaman paling kelakar anda dalam menyambut Hari Raya secara mengejut pada tahun ini? Jom kongsikan dengan kami!
Kredit : TikTok @sukriyosoff