Sebagai rakyat Malaysia, bawang sudah jadi bahan utama dalam kebanyakan hidangan. Kalau tak ada bawang, masakan boleh jadi tak sedap!
Namun, nak memotong bawang boleh jadi perkara yang ‘menyedihkan’ bagi yang mempunyai mata yang sensitif.
Ada orang yang boleh menangis lepas potong sebiji bawang saja! Itu belum lagi kena join rewang potong bawang dengan jiran. Berbaldi-baldilah air mata dibuatnya!
Sebenarnya ada beberapa petua untuk elak mata pedih bila potong bawang ni. Jom kita tengok tips yang anda boleh cuba.
Petua ni mungkin ramai yang belum cuba lagi. Sebelum nak masak, masukkan bawang yang anda nak gunakan selama 20 minit dalam peti sejuk. Bila nak guna, baru keluarkan.
Tapi kena cepat-cepat kupas dan potong, ya. Kalau bawang dah kembali ke suhu bilik, enzim bawang yang buatkan mata pedih akan aktif semula. Kalau tak nak masuk dalam peti sejuk, anda juga boleh rendamkannya dalam air sejuk.
Untuk kurangkan rasa pedih, anda juga boleh kupas terus bawang dalam air. Cara ini akan membuatkan enzim pada lapisan bawang merembes terus ke dalam air dan tak berterbangan di udara. Kalau nak kupas di bawah air mengalir pun boleh.
Bila nak potong bawang, gunakanlah pisau yang tajam. Ia bukan saja dapat memudahkan kerja memotong, malah ia juga dapat kurangkan pelepasan bahan kimia semasa anda potong bawang.
Bila anda guna pisau tumpul, lebih banyak bahan kimia yang akan terhasil, maka lebih cepatlah mata anda berair bila nak potong bawang!
Kunyah makanan atau gula-gula getah dikatakan dapat membantu untuk elakkan mata berair bila potong bawang.
Ketika anda mengunyah, otot-otot muka lebih-lebih lagi di kawasan mata akan bergerak dan dapat menghalang bahan kimia yang memedihkan mata dari keluar.
Mungkin ramai yang tak sedar tapi memotong akar bawang boleh buatkan ramai menangis bila potong bawang kerana bahan kimia akan dihasilkan lebih cepat.
Jadi, bila anda nak potong bawang, elakkan potong akarnya terlebih dahulu. Sebaliknya, potonglah bahagian atas terlebih dahulu. Cara ini turut disyorkan oleh The National Onion Association tau!
Selain itu, anda juga boleh semburkan sedikit cuka makan atas papan pemotong supaya mata kurang pedih bila nak memotong bawang.
Kalau ada kipas angin lebih di rumah, gunakannya bila nak potong bawang. Letakkannya dengan keduduk bertentangan dengan muka supaya aura getah bawang boleh terbang sehala mengikut arah angin kipas. Pasti mata akan kurang pedih!
Seperti yang dinyatakan tadi, bawang mempunyai enzim yang akan tersebar di udara. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, anda juga boleh amalkan sapu pisau dengan jus lemon sebelum mula memotong bawang. Sifat lemon yang berasid akan membantu kurangkan kesan enzim yang memedihkan mata.
Rupanya ada banyak cara yang anda boleh cuba untuk elak mata pedih bila potong bawang. Lepas ni, anda tak perlulah risau lagi bila kena potong bawang. Nak praktikkan pun mudah saja. Gerenti berkesan! Jom cuba di rumah hari ni!
Sumber : rasa.my, mysumber.tv