Selain digunakan untuk memasak, dapur kaca juga dijadikan perhiasan rumah. Cantik dan mudah untuk dibersihkan, ia semakin terkenal dan dipasang di hampir setiap buah rumah.
Namun, penggunaan dapur kaca turut mendatangkan risikonya. Selain menggunakan yang berkualiti, pengguna turut perlu menjaganya secara elok supaya hal yang menimpa wanita ini tidak terjadi ke atas anda.
Terbaharu, seorang wanita Rabiatul Adawiyah telah memuat naik sebuah video dan berkongsi pengalaman ngeri yang telah menimpa ke atas dirinya ketika berada di dapur.
Dikongsikan di grup Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official, wanita itu menceritakan kisahnya. Kerana mempunyai lebihan daging kerbau dari Hari Raya Aidiladha, dia telah bercadang untuk ke dapur untuk menyediakan sup daging kerbau.
Baru sahaja siap memanaskan minyak masak dalam kuali untuk menggoreng ikan masin, hal tidak diduga berlaku di mana dapur kaca yang digunakan tiba-tiba meletup.
Kejadian tersebut membuatnya terpaku sehingga buntu. Wanita itu turut bersyukur kerana suaminya masih berada di rumah dan mampu menenangkannya.
Meskipun kemalangan tersebut mengejutkannya, wanita itu menyakinkan orang ramai bahawa dia berada dalam keadaan selamat dan tidak terkena sebarang kecederaan.
Menjengah di ruangan komen, orang ramai turut bersyukur setelah mengetahui bahawa wanita tersebut berada dalam keadaan yang baik sejurus kejadian itu. Peristiwa ini turut membuat ramai berasa gerun untuk menggunakan dapur kaca dan ramai yang lebih suka untuk membeli yang besi kerana selamat dan tahan lasak.
Dapur kaca sememangnya cantik untuk dipandang tapi ia boleh mendatangkan pelbagai jenis bahaya. Ia perlu sentiasa dijaga dan orang ramai perlu berhati-hati kerana perkara sebegini boleh berlaku. Nasib baik tiada siapa yang tercedera!
Nak mudah, seeloknya anda menggunakan dapur besi. Lebih murah dan sangat tahan lasak.
Kredit: Rabiatul Adawiyah