Untuk memajukan perniagaan masing-masing, para peniaga perlulah kreatif dan berfikir di luar kotak.
Selain memastikan operasi dan perkhidmatan perniagaan sentiasa berada dalam keadaan yang bagus, teknik pemasaran juga memainkan peranan.
Namun, dalam mencari idea yang sesuai untuk promote bisnes anda, janganlah pula melakukan marketing yang berlebihan sehingga boleh mencetuskan kerisauan di kalangan orang ramai seperti yang dilakukan lelaki ini.
Terbaharu, seorang lelaki (identiti dirahsiakan), telah memuat naik sebuah video untuk berkongsi sebuah kemalangan ngeri yang melibatkan seorang penunggang motosikal dengan sebuah kereta kancil.
Kelihatan teruk, penunggang motosikal tersebut sehingga terebah dan berlumuran dengan darah di tepi jalan raya.
Ingin memeriksa keadaannya, si perakam menghampiri mangsa dan terkejut apabila mendapati walaupun baru sahaja kemalangan tapi dia masih berselera menikmati sepinggan char kuey teow.
Disangka kemalangan serius, rupanya ini semua merupakan teknik pemasaran baru untuk promote bisnes char kuey teow tersebut. Ish, buat orang lemah jantung pula sekejap!
Menjengah di ruangan komen, orang ramai mempunyai pendapat yang berbeza-beza mengenai perkara tersebut.
Ada yang terhibur kerana ‘terkena’ dengan video tersebut namun ada juga yang menasihatkan lelaki itu jangan melebih-lebih kerana gurauan tersebut boleh mengundang kejadian tersebut.
Menurut pengguna Pydot_Kdf, terdapat pelbagai cara peniaga boleh tolong mempromosikan bisnes mereka, tak perlulah begini kerana ia tidak elok, seolah meminta perkara itu terjadi.
Nak tolong promote bisnes orang itu tidak salah tapi janganlah kita melampaui batas dan menggunakan gimik yang tidak elok seperti ini.
Meskipun begitu, anda janganlah menjadikan perkara ini untuk mengecam peniaga tersebut. Mungkin dari sini dia boleh tambahbaikkan kelemahan dan belajar dari kesilapan.
Walau apapun, jom kita doakan semoga perniagaannya selamat maju jaya.