Gimbap merupakan makanan Korea yang sudah tidak asing di kalangan orang kita. Malah ia boleh didapati di pelbagai restoran Korea yang ada.
Rupanya sama seperti sushi tapi sebenarnya ia sangat berbeza. Mempunyai aneka protein dan sayur-sayuran, ia merupakan makanan yang sangat sihat untuk dijadikan bekalan untuk anak-anak atau suami.
Nak tahu cara untuk menyediakannya? Ikuti resepi ringkas ini yang telah dikongsikan oleh Zurina Zulkefli di grup Masak Apa Hari Ni.. (MAHN). Jom baca secara lebih lanjut untuk ketahui caranya.
Cara Buat Gimbap Sebijik Sama Dengan Restoran Korea, Kenyang Perut Bila Makan
Bahan-bahan
- Nasi (guna jenama Sumo)
- Rumpai laut kering
- Lobak merah (hiris nipis)
- Sawi jepun atau bayam hijau
- Telur
- Isi ayam (potong memanjang)
- Kicap masin
- Sos tiram
- Garam
- Minyak bijan
Cara-caranya
- Perap ayam dengan sesudu kicap masin dan sesudu sos tiram sekurang-kurangnya 30 minit. Biarkan.
- Masak nasi dan biarkan sejuk.
- Kemudian, goreng lobak merah dengan sedikit minyak sehingga lembut. Tambahkan sedikit garam. Angkat dan ketepikan.
- Rebus sawi atau bayam dan toskan sehingga kering. Kemudian, gaul dengan sedikit minyak bijan. Ketepikan.
- Pecahkan telur dan kacau. Goreng telur dadar. Setelah siap, gulung dan hiris nipis.
- Ayam siap perap boleh goreng dengan sedikit minyak sehingga garing. Ketepikan.
- Bila nasi dah sejuk, ratakan nasi senipisnya di atas rumpai laut.
- Isi satu persatu bahan inti yang disediakan tadi dan gulung sekemasnya. Kemudian, potong.
- Siap untuk dinikmati bersama sos pencicah.
Dah siap gimbap kita. Mudah sahaja resepi ini, kan? Sebenarnya anda boleh guna pelbagai protein lain dan sayur pilihan anda. Terpulang pada citarasa masing-masing ya.
Selamat mencuba resepi ini dan jangan lupa untuk kongsikannya pada kawan-kawan anda.
Kredit: Zurina Zulkefli
Baca Juga: Resepi Taufu Fa Crispy Goreng Pedas, Rasa Rangup Dan Sedap Walau Ni Lauk Simple!