Dalam kehidupan yang serba cedera ini, kedatangan orang-orang yang baik hatinya dapat menghilangkan kegusaran yang ada. Mereka datang memadamkan kerisauan diri kerana pertolongan ikhlas daripada insan baik dapat menyelamatkan ramai jiwa secara tidak sedar.
Seperti sebuah video yang tular semalam, seorang peniaga makanan yang menjual nasi serta aneka lauk pauk yang sedap telah membuka hati orang ramai untuk sentiasa percaya pada rezeki.
Dengan perkongsian video yang dimuatnaik di laman TikTok itu, dia menceritakan bagaimana dia berkongsi rezeki dengan sekumpulan budak-budak yang selalu datang ke gerainya untuk makan.
Paling tidak disangka, dia sendiri tidak mengenali budak-budak tersebut datang dari mana serta latar belakang mereka. Apa yang pasti, jika ada budak-budak atau kanak-kanak yang datang, dia pasti memberi mereka nasi dengan menyuruh mereka memilih sendiri lauk-pauk yang mereka sukai secara percuma.
“Nampak tak, kalau hujan dorang dah tunggu dekat lorong tu. Anak-anak dah tunggu dekat sana. Sanggup datang berpayung, hujan lebat ni sanggup datang berpayung sebab nak makan.
“Ada yang tanya saya, anak orang miskin ke anak gelandangan ke, saya tidak tahu. Budak-budak datang nak makan saya bagi,” katanya dalam video ramai doakan peniaga ini murah rezeki kerana berbagi nikmat Tuhan yang diberi kepadanya dengan yang memerlukan.
Melalui perkongsian video berkenaan, dilihat ramai budak-budak yang sudah mesra dengan peniaga berkenaan sedang mengambil pilihan lauk yang mereka mahu untuk makan di gerai makanan berhadapan Guardian Pandang Perdana, Ampang, Selangor tersebut.
Dalam video terdahulu, dia sememangnya sudah lama berbuat amal sebegini. Baginya, ini adalah satu kebahagiaan kerana percaya rezeki akan berkat jika kita memiliki sifat kemanusiaan dalam apa sahaja yang kita lakukan, termasuk dalam berniaga.
@sweetyayar hujan lebat pun datang nk makan
@sweetyayarhujan lebat pun datang nk makan♬ original sound – Yayar B. Awang Noh
Melihat komen netizen dan orang ramai, tidak hairanlah video-videonya sentiasa dipenuhi dengan doa murah rezeki ke atasnya yang tidak putus-putus.
Ini kerana, keikhlasan dirinya dalam berbagi rezeki tidak mudah untuk dilakukan oleh semua orang dengan semudah itu. Ia memerlukan pengorbanan dan keikhlasan yang sejati untuk berbuat baik dengan insan yang memerlukan walau tidak mengenal mereka.
“Alhamdulillah terbaik bro. Mungkin abang ni terpilih oleh Tuhan untuk membantu budak-budak ini. Teruskan, semoga dimurahkan rezeki,” kata netizen.
Selain itu, ada juga netizen meyuruhnya untuk membuat live ketika berniaga kerana orang ramai juga boleh turut sama bersedekah di situ dengan memberi gifts melalui live TikTok.
Semoga kebaikan yang didoakan orang ramai agar peniaga ini murah rezeki terus berkembang dan memberi inspirasi kepada orang ramai. Sebarkanlah sifat kemanusiaan walau sekecil apapun. Justeru, rezeki akan melimpah ruah dengan cara yang tidak disangka kerana menyelamatkan jiwa yang bernyawa.
Sumber: Yayar B. Awang Noh
Baca juga: “Layanan Macam 5 Bintang..”, Gadis Cina Sedang Makan Lemang Di Warung, Tiba-Tiba Lelaki Melayu..