Kerana mahu lebih meluangkan masa dengan suami dan anak-anak, guru ini mengambil keputusan untuk berhenti bekerja sebagai tenaga pengajar di Pulau Pinang.
Kisah ini menarik perhatian ramai orang kerana menceritakan sebuah cerita yang penuh makna dalam menghadapi dilema antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Keinginan untuk lebih banyak menghabiskan waktu bersama keluarga menjadi faktor utama. Ini kerana dia tidak mahu berjauhan dengan suami dan anak-anaknya yang masih kecil.
Menurut Sinar Harian, Yasmien Aiezzam Yasin yang berusia 35 tahun itu telah membuat keputusan berani untuk berpindah pulang ke kampung halaman di Kelantan untuk bersama keluarga tercinta.
Menurutnya, setiap tahun dia ada membuat permohonan pertukaran guru sekolah ke kampung halaman.
Tetapi permohonan berkenaan ditolak dan sering gagal.
“Terlalu sukar untuk meneruskan kerja sehingga saya kemurungan dan berfikir melakukan perkara yang tidak sepatutnya”, katanya.
Dalam ingin membantu menyara keluarganya, bekas guru itu telah mengambil keputusan untuk menjual sandwic demi meringankan beban keluarga.
Berkongsi pengalaman menjual sandwic, bekas guru itu menceritakan selepas dia melahirkan anak kelima, dia mengalami kenaikan berat badan yang ketara.
“Pada masa itu, berat badan saya mencapai 80kg. Saya mendapati sukar untuk menurunkan berat badan”
Selepas itu, Mien turut berkongsi makanan sihatnya di media sosial. Dia tidak menyangka mendapat sambutan daripada rakan-rakan terdekat sebelum mula menerima tempahan.
Kini, selepas enam bulan memulakan perniagaan, sandwic dari resipi sendiri itu mula mendapat sambutan meluas dan tular di media sosial.
Sehingga kini, Mien menyediakan sandwic dengan 20 jenis inti menggunakan bahan segar kerana dimasak sendiri di rumah.
Menurutnya, pengorbanan yang dilakukan untuk meletak jawatan sebagai seorang guru itu berbaloi kerana dapat menguruskan keluarga serta membantu orang ramai dari segi pemakanan yang sihat.
Mien juga menyimpan impian untuk menjadi guru kepada mereka yang berminat membuat dan berniaga makanan sihat dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Semoga sentiasa sihat dan dipermudahkan jalan untuknya dalam mencari rezeki.
Untuk info tambahan, sesiapa yang ingin melihat resipi pelbagai Sandwic di Daily Makan, boleh rujuk di sini.
Sumber: Berita Harian