Bila berbuka puasa, sudah tentu kita mahu makan pelbagai hidangan yang enak dan menarik. Namun ada kalanya kita akan teringin pula menikmati lauk ala kampung untuk menjamu selera.
Antara lauk ala kampung yang sering menjadi pilihan adalah gulai lemak nanas ikan kurau. Masam dan masin, kuahnya yang berlemak sesuai dimakan dengan sepinggan nasi putih. Dijamin sangat berselera bila dimakan. Ikuti resepinya yang telah dikongsikan oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan di Facebook.
Resepi Gulai Lemak Nanas Ikan Kurau, Mudah Sahaja Untuk Disediakan
Bahan-Bahan
- 50gram ikan kurau masin
- 1/2 biji nanas
- 2 biji bawang merah ros
- 5 biji cili api atau cili padi
- 2 inci kunyit hidup
- 1 batang serai
- 150ml santan pekat
Cara Penyediaan
- Potong nanas ikut suka.
- Tumbuk halus bawang merah, cili padi, dan kunyit sampai lumat.
- Letakkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi dalam kuali, tak perlu minyak.
- Masukkan santan pekat. Kemudian, hidupkan api. Kacau bahan ramuan dan santan ini sampai lah menggelegak. Kalau kering sangat boleh masukkan air. Kita perlu reneh dua samapi hilang rasa maung bahan tadi.
- Selesai itu, kita masukkan dua cawan air diikuti dengan sebatang serai yang telah dititik.
- Rendam dan cuci dahulu ikan masin terlebih dahulu untuk mengelakkan rasa yang terlalu masin.
- Masukkan ikan masin dalam kuali bersama renehan kita tadi. Kalau tak ada ikan masin kurau, boleh gunakan ikan talang, sepat, merah atau yu.
- Masukkan nanas. Jangan masukkan sebiji nanas pula. Separuh sahaja dah cukup.
- Perasakan gulai anda. Jika kurang masam, boleh letakkan sekeping asam gelugur.
- Dah siap untuk dihidang.
Mudah sangat untuk menyediakan lauk ini, kan? Jika anda ingin berbuka puasa dengan lauk kampung yang sedap dan mudah untuk disediakan, anda perlu cuba resepi gulai lemak nanas ikan kurau ini. Ringkas sahaja.
Selamat mencuba dan jangan lupa untuk kongsikan resepi ini.
Kredit: Kamarul Ariffin Nor Sadan
Baca Juga: Cara Masak Udang Kam Heong, Mudah & Sedap. Rasa Sama Macam Restoran