Sepasang suami isteri menjual air teh ‘O’ berharga hanya 50 sen secawan sebagai cara membalas budi penderma yang membantu sehingga anak perempuan mereka sembuh penyakit leukimia.
Yusnira Mukhtar, 42, dan suaminya, Rohaizad Abdul Khalid, 44, berkata, Warung Teh ‘O’ 50 Sen beroperasi di Jalan Pantai, Kampung Bagan Pinang, Port Dickson adalah kaedah terbaik dalam bersedekah kepada pelanggan dan rakan yang banyak membantu mereka sekeluarga ketika menghadapi kesulitan.
“Kami menjual air teh ‘O’ ais atau teh ‘O’ panas pada harga 50 sen kerana mahu membalas balik kebaikan penderma yang menghulurkan pertolongan semasa anak kedua kami Puteri Iris Sofea didapati menghidap leukimia ketika berusia dua tahun.
“Kami tidak mampu mencari setiap individu yang membantu selama ini. Saya dan suami sangat bersyukur dan amat berterima kasih. Kami fikir ini cara terbaik iaitu bersedekah kepada pelanggan kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Yusnira berkata, walaupun dia dan suami terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anaknya itu, dia sekeluarga bersyukur anak perempuannya yang kini menginjak usia 14 tahun sihat sepenuhnya atas bantuan rakan-rakan sepejabat yang menderma hampir RM20,000.
Warung itu katanya, turut menjual pelbagai pilihan air termasuk `coconut shake’ dan masakan Melayu seperti asam pedas dan salai mengikut harga pasaran dan berpatutan, malah warung itu juga sering dikunjungi pelanggan terutamanya pada hujung minggu.
“Dalam sehari purata lebih 20 pelanggan pesan teh ‘O’ panas atau teh ‘O’ ais, nama Warung Teh ‘O’ 50 sen ini juga antara faktor pelanggan ingin datang dan mencuba makanan kami. Alhamdullilah perniagaan amat baik. Insya-Allah saya dan suami akan kekal menjual teh ‘O’ pada harga 50 sen,” katanya.
Yusnira berkata, walaupun berdepan dengan kenaikan kos barangan, mereka tetap menjual teh ‘O’ dengan harga sama dan mengekalkan niat mereka untuk bersedekah.
Sumber: Harian Metro
Baca juga: Ramai Bangga Khairul Aming Lancar Produk Baru, Dendeng Nyet Berapi Bakal Dijual 2 Februari Ini