Dalam berniaga, amalan bersedekah sememangnya digalakkan bagi yang mampu. Tetapi, ia bukan dapat dilakukan oleh semua orang atau peniaga. Hal ini memerlukan kekuatan dan keikhlasan yang benar dan tulus untuk berbagi rezeki secara sukarela.
Seperti perkongsian seorang penjual nasi jalanan yang membantu pelanggan-pelanggan kelaparan akibat ketiadaan duit atau ingin berjimat, sifat baik dan pemurahnya mendapat pujian ramai. Bukan senang untuk melakukan hal sebegitu di saat semua sedang kesempitan wang.
Menurut perkongsian yang dikongsi oleh peniaga nasi jalanan bernama Nurul Shima di laman Twitternya, dia memberitahu orang ramai agar tidak segan silu untuk datang ke kedainya mengambil nasi percuma jika dia ada rezeki berlebihan jikalau betul-betul tidak mampu membelinya.
“Tak cukup duit nak makan? CAKAP. Sis boleh bagi nasi percuma. Jangan kais cari duit dalam poket, lepastu letak balik nasi sebab tak cukup duit.
“Saya tak boleh dengan situasi macaam tu. Saya tersentuh hati. Setakat bagi 2-4 bungkus nasi bajet tak ruginya niaga sis,” katanya dalam ciapan berkenaan.
Tambahnya lagi, dia pernah berdepan dengan situasi di mana pelanggannya memang ketiadaan duit untuk membeli nasi bagi mengisi perut.
“Ada yang keluarkan plastik syiling sambil kira menyorok daripada kami. Mungkin malu sebab tak ada duit kertas nak bayar. Ada yang tinggal duit nyawa ikan sampai hujung bulan. Selalunya saya bagi nasi percuma je. Saya tahu sebab saya rajin tanya khabar,” ceritanya lagi.
Dia yang menjual setiap nasi bajet dengan beraneka lauk seperti lauk ayam masak kicap, ayam masak merah, daging goreng berlada dan sambal udang menjual nasi bungkus berkenaan dengan harga RM3.50 sahaja.
“Akak dapat balik modal dan ada untung sedikit ciput pun Alhamdulillah. Memang niat nak bagi orang makan puas hati. Doa tu berharga,” kata penjual nasi jalanan terbabit.
Meninjau ruangan komen, ramai yang tersentuh hati dengan kebaikan yang dihulurkan peniaga terbabit dan mendoakan agar perniagaannya laris supaya dapat berkhidmat kepada orang ramai dan masyarakat yang memerlukan.
“Mulia hati Cik. Semoga Allah permudahkan niat baik Cik dunia akhirat,” kata rata-rata netizen.
Tak cukup duit nak makan? CAKAP. Sis boleh bagi nasi percuma.
Jangan kais cari duit dalam poket, lepas tu letak balik nasi sebab tak cukup duit.
I cannot go la dengan situasi macam tu. I is mudah tersentuh hati 🥹. Setakat bagi 2-4 bungkus nasi bajet tu tak ruginya niaga sis. pic.twitter.com/mJ1lI8qDCZ
— Nurul Shima (@NurulShima_3) February 1, 2023
Min tersentuh hati sangat melihat perbuatan baik sebegini. Penjual lokal macam ni lah kita kena sokong supaya rezekinya lagi mencurah-curah dalam membantu orang ramai.
Jika korang ingin berkunjung ke sini, lokasi jualan terletak di depan Surau Al-Falah Seksyen 6, Kota Damansara. Mereka beroperasi hari Isnin sehingga Jumaat jam 5.30 petang.
Sumber: Nurul Shima
Baca juga: Bertahan 2 Malam Dalam Hutan Sendirian, Air 100Plus Selamatkan Nyawa Wanita Sesat Ketika Mendaki