Semenjak tahun 1995, Gourmand Awards diadakan bagi merai pelbagai penulis berbakat dalam industri penulisan kulinari. Sama taraf dengan anugerah Oscars, majlis itu mengumpul pelbagai penerbit, penulis, chef dan wartawan dari 50 buah negara ke Umae, Sweden.
Dengan persaingan yang begitu sengit, siapa sangka seorang food lover dari Malaysia mampu mengharumkan nama negara? Cintanya pada masakan Malaysia telah menghasilkan sebuah buku masakan bertajuk, Penang Makan yang berjaya dinobatkan anugerah di Gourmand Awards ke-27. Ikuti perkongsian kisahnya.
Gourmand Awards menampilkan pelbagai individu yang menarik dan kreatif namun antara yang menarik perhatian ramai adalah seorang wanita berusia 32 tahun, Nur Dayana Azman Wong yang merupakan seorang penulis baharu.
(Cik Nur Dayana Azman Wong, penulis Penang Makan)
Meskipun buku masakannya, Penang Makan merupakan buku pertama yang dihasilkan, ia berjaya mengalahkan persaingan lain dan telah dianugerahkan yang terbaik di dunia bagi kategori Street Food di Gourmand Awards.
Ditemu ramah oleh Bernama baru-baru ini, Dayana yang berasal dari Penang mula dengan mengenali resepi dari pelbagai gerai dan peniaga kecil sejurus pulang ke tanah air selepas menghabiskan pelajaran dalam bidang Master of Science in International Business di Hult Business School, London, United Kingdom pada 2017.
(Buku Masakan; Penang Makan)
Menurutnya, dia sudah memasang keinginan untuk menulis sejak kecil. Ketika berada di London dan mencari buku masakan hidangan Penang, ia amat sukar ditemui. Oleh itu, dia nekad untuk menulis buku masakan untuk memperkenalkan orang ramai pada hidangan itu melalui buku yang akan dihasilkan.
Dayana juga berkongsi bahawa dia telah belajar untuk menyediakan dan menghargai aneka makanan tradisi dari keluarganya. Tambahan, kenangan indah ketika makan bersama mereka menjadi satu kenangan yang tak akan dilupakan.
Sebelum memberi fokus yang sepenuhnya pada menerbitkan buku tersebut, Dayana pernah bekerja sebagai seorang pekerja swasta sebelum berhenti untuk membantu keluarganya menguruskan perniagaan mereka.
Sambil itu, dia turut mengunjungi pelbagai gerai dan kedai makan yang ada di Penang untuk mula mencari idea buat bukunya. Dari meminta resepi dari mereka, Dayana bagaimanapun menggunakan deria rasa yang ada untuk mengenali setiap bahan yang digunakan bagi mengolah resepinya.
Ketika dunia sedang dikejutkan dengan pandemik Covid-19, ia tidak memutuskan semangatnya. Sebaliknya, dia mengambil waktu yang terluang untuk mengumpul dan mencuba setiap resepi yang ada.
Dengan resepi yang pertama iaitu Cucur Udang, Dayana akhirnya berjaya mengumpul 50 resepi di dalam sebuah buku; Penang Makan. (Cucur udang dari buku Penang Makan, resepi pertama yang mempunyai seribu makna buat penulis)
Terharu dengan anugerah yang telah diperolehi, Dayana juga memasang impian untuk tampil di rancangan yang mendedahkan penonton mengenai masakan Malaysia. Dia yang membesar dengan menonton Chef Wan, Denise Keller, Nigella Lawson, Anthony Bourdain berasakan mereka antara yang mencetus harapan itu.
Kini, Dayana terlibat secara langsung dengan mempromosikan hidangan Malaysia di Belgium, satu kolibrasi bersama Malaysian Ambassador to Belgium, Ahmad Rozian Abd Ghani.
Tahniah buat penulis berbakat ini. Cinta bagi hidangan Malaysia telah berjaya mengharumkan negara!
Kredit: The Star