Acar timun merupakan hidangan sampingan yang bukan sahaja mudah untuk disediakan tapi amat sedap dan menyegarkan. Selalunya ia dimakan bersama nasi hujan panas dan ayam masak merah. Tambahan pula ia antara hidangan wajib di majlis perkahwinan.
Bukan sahaja dimakan bersama pelbagai lauk-pauk, acar timun juga sesuai dimakan bersama keropok kering. Rangup dan cukup rasa, anda perlu cuba resepi acar timun homemade ini yang telah dikongsikan oleh Marlyssa Pariss di grup Masak Apa Hari Ni (MAHN).
Resepi Acar Timun Homemade
Bahan-Bahan
- 1kg timun
- 1 atau 2 biji lobak merah (dipotong lebih kurang 2 inci)
- 7 biji bawang merah (dihiris nipis)
- 5 biji bawang putih (dihiris nipis)
- 1 inci halia
- 1 biji cili merah (dibuang biji)
- 1 batang kayu manis
- 1 biji bunga lawang
- 3 biji bunga cengkih
- 2 sudu makan serbuk kari
- 3 sudu makan udang kering
- 2 atau 3 sudu makan bawang besar (dikisar)
- Cili kering (dikisar)
- Cuka
- Garam
- Gula
- Kacang (ditumbuk kasar)
- Biji bijan (disangai)
Cara Penyediaan
- Timun dibuang hati dan dipotong nipis. Gaulkan dengan garam dan dibiarkan seketika sehingga keluar air. Sediakan kain putih dan perah timun sedikit demi sedikit sehingga betul-betul kering.
- Jemurkan timun, lobak merah, bawang putih, halia, cili sampai kering supaya tahan lama.
- Tumiskan bawang dan cili kering kisar sehingga garing.
- Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih. Tumis sehingga naik aroma.
- Masukkan serbuk kari.
- Masukkan bawang merah, bawang putih, halia dan cili merah sudah kering.
- Tambahkan udang kering, cuka, gula dan garam sehingga cukup rasa.
- Masukkan timun dan lobak merah dan gaul sebati.
- Akhir sekali tambahkan kacang tumbuk dan bijan.
Mudah sahaja, kan? Resepi ini sangat simple. Bukan sahaja sedap dimakan bersama nasi dan lauk pauk tapi juga sesuai dijadikan snek dengan keropok. Rangup dan kena dengan selera.
Selamat mencuba.
Kredit: Marlyssa Pariss via MAHN
Baca Juga: Resepi Nasi Minyak Hujan Panas Mudah Bersama Ayam Masak Merah, Acar Nenas Timun & Papadom