Kek sarang semut ini boleh dikatakan antara jenis kek yang legend! Mungkin anak-anak tak berapa mengenalinya tapi ia masih terkenal di kalangan mereka yang sudah berumur.
Nak mencarinya di mana-mana bakeri amat susah, jadi dari habis minyak pusing bandar mencarinya, baik kita cuba buat sendiri. Ikuti resepi kek sarang semut versi tak perlu perap adunan ini yang dikongsikan oleh Khairul Hasrol di grup Masak Apa Hari Ni.. (MAHN). Lebih mudah dan cepat!
Cara Buat Kek Sarang Semut Versi Tak Perlu Perap Adunan, Boleh Terus Bakar!
Bahan kek
- 4 biji telur gred B
- 1/2 cawan susu pekat manis
- 1 sudu kecil esen vanilla
- 1 cawan tepung gandum
- 2 sudu kecil soda bikarbonat
- 1 sudu kecil baking powder
Bahan gula hangus
- 1 cawan gula pasir
- 1 cawan air panas
- 1/2 cawan butter -lebih sedap bila guna jenama ini
Cara penyediaan
- Dalam bekas, pecahkan telur.
- Masukkan susu pekat manis. Kacau-kacau manja sahaja. Tak perlu pakai mixer, boleh pakai spatula atau whisk dengan tangan sahaja.
- Masukkan esen vanilla.
- Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Kacau-kacau manja lagi sehingga semuanya sebati. Ketika ini, adunan membentuk banyak buih-buih kecil, itu tandanya soda bikarbonat tengah ‘bekerja’ dan anda akan dapat kek yang berongga nanti.
- Ketepikan adunan.
- Dalam periuk yang lain, masukkan gula pasir. Masak sehingga keperangan (jangan sampai hangit).
- Masukkan air panas.
- Masukkan butter. Tunggu sehingga butter cair sepenuhnya.
- Tuang gula hangus yang masih panas terus ke dalam adunan kek tadi. Kacau hingga sebati.
- Tuang ke dalam loyang yang telah digriskan.
- Bakar pada suhu 180 darjah, api atas bawah selama 50 minit sehingga kek masak.
- Siap untuk dinikmati!
Tips penting!
- Guna soda bikarbonat yang masih aktif kerana soda bikarbonat la yang akan membuatkan kek nampak cantik berongga. Semasa membancuh tepung, soda bikarbonat akan membentuk banyak buih-buih yang kecil di dalam adunan.
- Gula hangus yang masih panas akan mengaktifkan soda bikarbonat untuk ‘bekerja’. Sebab itu adunan kek tidak perlu diperap lagi.
- Baking powder ditambah bagi melembutkan tekstur kek. Anda akan dapat kek yang lembut dan kenyal.
- Pakai loyang yang kecil dan tinggi untuk adunan di atas. Sekiranya loyang besar dan lebar, gandakan sukatan.
- Pre-heat oven selama 15 hingga 20 minit sebelum membakar kek.
- Potong kek secara melintang supaya dapat potongan kek yang berongga
Lebih mudah buat kek sarang semut versi tak perlu perap aduna n! Jimat masa tapi rupanya cantik dan rasa masih sedap! Tak rugi pun cuba.
Selamat mencuba resepi ini.
Kredit: Khairul Hasrol di grup Masak Apa Hari Ni.. (MAHN)
Baca Juga: Resepi Laksam Sedap Sukatan 4 Orang, Sesuai Untuk Keluarga Kecil