Kuih cakar ayam cukup terkenal sebagai kuih tradisional yang tetap ada peminatnya sehingga ke hari ini. Selalu kalau kita beli pun, mesti cepat habis sebalang sebab rasanya yang manis dan rangup.
Sesuai untuk dijadikan kudapan untuk minum petang, kuih cakar ayam juga sering menjadi pilihan untuk dihidangkan kepada tetamu semasa jamuan atau majlis kenduri.
Berbanding dengan rasanya yang lazat, sebenarnya senang saja nak buat kuih cakar ayam ni. Guna tiga bahan saja.
Jom kita tengok bahan-bahan yang diperlukan serta cara untuk buat kuih cakar ayam.
Resepi Kuih Cakar Ayam Guna Tiga Bahan, Confirm Jadi !
Bahan-Bahan :
- 2 cawan ubi keledek putih yang diparut atau disagat kasar
- 4 sudu besar gula pasir
- Minyak untuk menggoreng
Cara-Cara :
- Panaskan minyak yang banyak dalam kuali.
- Masukkan gula pasir ke dalam minyak panas dan kacau sehingga gula mencair dan bertukar menjadi keperangan.
- Masukkan pula ubi keledek yang sudah diparut tadi, kemudian gorengkannya sampai keperangan. (Jangan berhenti kacau, ya ! )
- Angkat dan toskan minyak.
- Ketika masih panas, ambil keledek parut yang sudah digoreng tadi untuk dibentukkan menjadi bulat.
- Anda boleh buat acuan dengan menggunakan botol yang dipotong menjadi bentuk gelang. Boleh rujuk gambar di bawah.
- Masukkan ke dalam acuan dan tekan dengan sudu sampai mampat.
Tips Penting
Sebelum anda mula buat, jangan lupa untuk baca tips penting ini untuk dapatkan kuih cakar ayam yang sedap dan cantik bentuknya.
Tips-tipsnya adalah seperti berikut :
- Masukkan gula pasir, bukan air gula ke dalam minyak panas tau !
- Selepas anda goreng, keledek memang tak akan keras, tapi jangan berlengah pula untuk masukkan ke dalam acuan. Bila keledek jadi sejuk dan mengeras, lagi susah nak dibentuk.
Tak sangka mudah saja rupanya nak buat kuih cakar ayam. Sangat ringkas dan perlu 3 bahan saja. Tak perlu guna peralatan atau teknik yang rumit. Hanya perlu goreng dalam kuali dan tak perlu bakar di oven.
Bila anda dah tahu cara buat kuih cakar ayam, anda tak perlulah beli lagi. Pasti lebih segar dan rangup bila anda hasilkan sendiri di rumah.
Bolehlah anda nikmatinya bersama keluarga dan tetamu yang bertandang. Nak buat banyak-banyak untuk berniaga pun boleh. Selamat mencuba !
Sumber : Are Peace