Roti Croissant menjadi antara jenis roti yang begitu dikenali ramai dan boleh didapati di rata-rata bakeri. Di negara Perancis pula, roti ini sering dinikmati ketika sarapan pagi bersama secawan kopi. Di sana, ia menghidangkan roti croissant yang terbaik di dunia.
Jika anda ingin membuatnya sendiri di rumah, ini resepi roti croissant yang telah dikongsikan oleh Siti Hazneza Abdul Hamid di grup Masak Apa Hari Ni.. (MAHN). Prosesnya mengambil masa dua hari tapi sangat berbaloi. Jom baca untuk ketahui caranya.
Resepi Roti Croissant Ala Bakeri Perancis, Perlu 2 Hari Untuk Siapkan Tapi Sangat Berbaloi
Bahan-bahan
- 4 sudu makan gula pasir
- 3 sudu makan susu tepung atau 3/4 cawan susu segar
- 2 1/2 sudu teh yis
- 1 1/2 cawan air suam (jika gunakan susu segar, hanya tambah 3/4 cawan air)
- 4 1/2 cawan tepung
- 4 sudu makan mentega atau marjerin
- Sebiji telur
- Garam

Cara-caranya
- Campurkan gula pasir, susu tepung (atau susu segar), yis. Tambahkan air suam.

- Biarkan sehingga yis mula aktif. Yis akan mula berbuih.

- Masukkan tepung sedikit demi sedikit. Agar tidak comot tangan, kacau sahaja dengan sudip dua serampang.

- Sampai jadi berat begini, barulah mula gunakan tangan untuk menguli sambil menambah tepung sedikit demi sedikit.

- Apabila doh tidak lagi melekat pada bekas, berhenti menambah tepung.

- Tambah mentega atau marjerin yang dilembutkan pada suhu bilik.

- Uli sehingga mentega meresap ke dalam tepung, rehatkan 15 minit.

- Uli lagi sehingga tepung licin, alihkan ke dalam bekas bertutup.

- Rehatkan dalam peti sejuk selama 2 hingga 3 jam.

- Tepung sudah naik sekali ganda, uli semula.

- Bahagi tepung kepada 12 bahagian.

- Bentukkan bulat-bulat. Simpan dalam peti sejuk.

- Keluarkan seketul bola tepung dan canai nipis menjadi bulatan 6 inci (bulatan kecil). Simpan doh yang sudah dicanai ke dalam peti sejuk. Teruskan dengan semua bola tepung sehingga habis. Simpan setiap doh yang dicanai dalam peti sejuk.

- 12 doh sudah dicanai.

- Ambil sekeping doh yang sudah dicanai dan sapu mentega atau marjerin pada suhu bilik atas doh tersebut. Letakkan kepingan doh kedua dan sapukan mentega atau marjerin. Ulang melapisi doh dan menyapu mentega atau marjerin sehingga lapisan terakhir. Tidak perlu sapu mentega atau marjerin atas lapisan terakhir.

- 12 keping doh yang diselangi sapuan mentega atau marjerin.

- Bentuk-bentukkan sedikit supaya sekata.

- Balut dengan plastik dan masukkan dalam bekas bertutup.

- Biarkan doh berehat dalam peti sejuk semalaman.

- Keluarkan doh dari peti sejuk dan buka bungkusan plastik.

- Taburkan sedikit tepung dan canai doh menjadi bulatan 14 hingga 18 inci.

- Sudah mendapat saiz yang sesuai.

- Bahagi doh menjadi 16 kepingan segitiga. Simpan dalam peti sejuk.

- Keluarkan satu segi tiga, buat potongan sedikit pada bahagian tapaknya. Gulung dari tapak segi tiga ke arah puncaknya.

- Susun croissant yang terbentuk atas dulang pembakar, pastikan bahagian hujung puncak segi tiga menghadap ke bawah.

- Boleh diperhatikan lapisan mentega atau marjerin di antara lapisan tepung.

- Simpan croissant yang belum mahu dibakar dalam freezer (tempat sejuk beku). Croissant yang hendak dibakar, biarkan pada suhu bilik sehingga naik sekali ganda.

- Siapkan sapuan telur. Sebiji telur dan secubit garam, dipukul sehingga rata kuningnya.

- Sapu atas croissant yang sedia untuk dibakar.

- Bakar dalam ketuhar pada suhu 200 darjah celcius selama 15 hingga 20 minit.

- Keluarkan dari oven.

- Tunggu sejuk sedikit sebelum belah agar sarangnya tidak collapse. Rasanya memang sedap!

Buat roti ini memang memakan sedikit waktu dan kesabaran tapi hasilnya sangat memuaskan hati. Cicah bersama secawan kopi atau minuman coklat tentu begitu sedap, kan?
Selamat mencuba dan jangan lupa untuk kongsikan resepi ini.
Kredit: Siti Hazneza Abdul Hamid
Baca Juga: Buat Sushi Guna Roti Keping Biasa, Hidangan Roti Sushi Sandwich Tetap Sedap, Lain Dari Yang Lain!