Tosei merupakan makanan tradisional india yang diperbuat daripada kacang ulunthu, halba, beras dan nasi sejuk. Ia sedap dimakan bersama idli, chutney kelapa ataupun kuah kari. Enak dimakan pada waktu pagi atau malam. Ianya amat kaya dengan karbohidrat dan protein. Manakala, bahan-bahan idli adalah sama dengan tosei. Tetapi cara penyediaannya berbeza dengan tosei.
Namun, anda boleh buat mengikut citarasa anda dan boleh dimakan dengan apa sahaja kuah yang anda suka. Jom kita lihat resepi makanan tradisional india yang dikongsikan oleh Nur Masri di Facebook.
Cara Buat Tosei
BAHAN-BAHAN:
- 1/2 cawan kacang ulunthu
- 2 cawan beras
- 1 sudu kecil halba
- 1 sudu kecil garam
- 1 cawan nasi sejuk
CARA PENYEDIAANNYA:
- Basuh kacang ulunthu, rendam di dalam air sekurang-kurangnya 6 jam atau semalaman.
- Basuh beras dan halba, rendam sekurang-kurangnya 6 jam@ semalaman(Jika nak buat petang rendam malam, pagi mula mengisar dan jika nak buat pagi, petang rendam, malam mula mengisar)
- Toskan ulunthu dan beras yang direndam, kisar bersama nasi sejuk ketiga-tiga bahan tersebut dengan sedikit air. Pastikan kisaran anda jangan terlalu cair. Kisar sehingga betul-betul halus, kemudian masukkan garam.
- Masukkan adunan itu dalam bekas yang besar dan peram semalaman atau 8 jam. Jangan terlalu lama peram. Adunan akan menjadi bertambah masam. Sekiranya ingin simpan adunan yang berlebihan, simpan di dalam peti sejuk. Boleh digunakan kembali untuk 2-3 hari.*Jika guna food processor boleh je kisar semua bahan sekali, jika guna blender boleh kisar ulunthu berasingan dengan beras sebab beras lambat halus berbanding ulunthu.
- Biasanya adunan akan bertambah dua kali kuantiti yang asal selepas diperam.
- Panaskan kuali leper, sapukan minyak pada kuali , ceduk penuh adunan dengan senduk dalam dan tuang di tengah kuali leper. Kemudian buat putaran menggunakan bawah senduk sehingga tepung anda menjadi nipis dan bulat. Tutup permukaan tosei dengan penutup periuk untuk memastikan bahagian atas masak. Api dapur perlu sentiasa dijaga. Tosei masak dengan cepat 1-2 minit, jika suka garing boleh lebihkan masa.
- Keluarkan tosei anda dan lipat.
- Tosei boleh makan dengan kuah dhal, kari, dan chutney kelapa.
Cara Buat Idli
BAHAN-BAHAN:
- 1/2 cawan kacang ulunthu
- 2 cawan beras
- 1 sudu kecil halba
- 1 sudu kecil garam
- 1 cawan nasi sejuk
CARA PENYEDIAANNYA:
- Sapukan minyak pada acuan.(Saya guna acuan lompang je)
- Masukkan adunan tosei ke dalam acuan.
- Kukus 15-20 minit.
- Sejukkan dulu, baru keluarkan daripada acuan.
Cara Buat Chutney Kelapa
BAHAN-BAHAN:
Bahan A
- 1/2 biji kelapa parut
- 2 tangkai daun kari
- 2 biji cili hijau jika ingin pedas guna cili padi
- 1 cm halia
- 4 biji bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- 1 sudu besar air asam jawa
- Minyak
Bahan B
- 2 biji bawang merah
- 5 biji cili kering
- 2 tangkai daun kari
- 2 sudu minyak masak
- 1 sudu kecil biji sawi
CARA PENYEDIAANNYA:
- Panaskan minyak, kemudian masukkan bahan A kecuali kelapa, masak sehingga layu Kemudian masukkan kelapa sangai sekejap. Biarkan sejuk. Kemudian masukkan di dalam mesin pengisar dan blend sehingga halus dengan sedikit air.
- Kemudian panaskan minyak dan tumis bahan B sehingga naik bau.
- Akhir sekali masukkan bahan A yang dikisar dan kacau rata. Sedia untuk di hidang.
Mudah je rupanya nak buat makanan tradisional india ni. Tosei boleh dimakan bersama idli dan kuah chutney kelapa atau kuah kari. Terpulang kepada citarasa anda dan keluarga anda. Boleh dijadikan sarapan atau makan malam. Buat sendiri tentu lagi puas hati.
Selamat Mencuba!
Kredit foto & resepi: Nur Masri Via BIKMM
Baca Juga: Salah Satu Makanan Yang ‘Tersedap’ Di India, Ini Dia Resepi Chittenad Masala Yang Mendapat Lebih 14K Perkongsian