Hanya menggunakan beberapa bahan yang ringkas, hidangan sedap dari Kelantan ini dapat dibuat. Hidangan Kerabu Timun Bersantan ini sememangnya sedap dimakan sejuk.
Bahan-bahannya cukup mudah. Anda hanya perlukan timun yang disagat atau diparut halus. Sebaiknya guna mesin pemarut supaya saiznya sekata dan parutannya halus. Jika guna pisau, tekstur halus agak sukar untuk diperoleh.
Selain itu, bahan utama yang harus digunakan dalam hidangan ini adalah santan dan mempunyai rencah ikan. Bila keduanya bergabung, memang enak dan sedap. Lemak-lemak rasanya. Sangat kena bila dimakan sejuk. Ratah sahaja boleh habis semangkuk.
Ini Resipi Kerabu Timun Bersantan, Menu Dari Kelantan Yang Mantap Dimakan Sejuk
Bahan-bahan:
- 2-3 batang timun
- santan secukupnya – tak terlalu pekat & tak terlalu cair
- garam dan sedikit gula – jika suka
- jus limau nipis secukupnya
Bahan Tumbuk:
- 2-3 ekor ikan selayang / sardin rebus
- 3 biji bawang merah
- lada hitam secukupnya
- kelapa parut goreng secukupnya
Cara Penyediaan:
- Satukan bawang merah, lada hitam, kelapa parut goreng dan isi ikan selayang (sardin) yang direbus. Tumbuk hingga lumat.
- Sagat halus timun. Kemudian masukkan ke dalam mangkuk yang bersesuaian.
- Campurkan bahan tumbuk tadi ke dalam mangkuk berisi timun yang disagat.
- Masukkan santan dengan secukupnya. Sebaiknya santan dipanaskan sekejap supaya kerabu lambat basi.
- Perasakan dengan menambah garam dengan seckupnya. Jika suka, boleh juga masukkan sedikit gula.
- Masukkan perahan limau nipis mengikut tahap kemasaman yang digemari.
- Gaul rata dan Kerabu Timun sedia untuk dinikmati.
Info: Untuk rasa Kerabu Timun Bersantan lebih enak, boleh tambah perut lembu rebus atau kerang rebus ke dalam kerabu. Malah boleh juga guna pucuk paku, taugeh dan kacang panjang. Sangat sedap.
Sumber: Izyana Ell
Baca juga: Wanita Ini Kongsi Resipi Nasi Lemak Kuning Stail Utara Tak Guna Santan, Ajaran Arwah Ibu Yang Sangat Lazat