Akhir-akhir ini, orang ramai berasa sangat risau apabila mendengar pelbagai berita kemalangan ngeri yang berlaku di jalan raya. Untuk mengelakkannya, kita semua dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika memandu.
Namun begitu, kejadian malang tetap akan berlaku. Melihat keadaan jalan raya selepas berlakunya sebuah kemalangan, sesiapa akan berasa seram, terutamanya bila ia melibatkan sebuah lori kontena.
Terbaharu, seorang lelaki mohdazriy telah memuat naik sebuah video di laman TikTok untuk berkongsi keadaan sebuah jalan raya, dipercayai di laluan arah selatan Kilometer 265.9 Lebuhraya Utara Selatan susulan kejadian sebuah lori tin sardin terbalik.
Kelihatan sesak dengan kenderaan dan ribuan sardin di serata jalan, para pemandu sedang mencuba sebaik mungkin untuk melalui jalan itu sambil dibantu pihak berkuasa.
Gara-gara kemalangan tersebut, laluan menghala arah selatan telah terhalang sepenuhnya dengan aliran trafik, menjadikannya sesak lebih tiga kilometer menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob.
Dilihat, jalan raya bertukar menjadi merah coklat gara-gara ribuan tin sardin yang telah pecah setelah ia digilis tercampak dari lori dan digilis dengan kenderaan lain.
Kemalangan itu telah menyukarkan penunggang motosikal yang perlu lebih berhati-hati ketika melalui jalan raya tersebut. Berlaku semalam, pihak berwajib telah mencuba sebaik mungkin untuk mengendalikan kenderaan lain dan mengarahkan keluar menerusi Plaza Tol Kuala Kangsar bagi memudahkan kerja pengalihan lori kontena terbabit.
Menjengah di ruangan komen, orang ramai turut berasa risau melihat keadaan jalan raya tersebut. Pengguna roziahyan amat merisaukan keadaan mereka yang bermotosikal kerana takut akan tergolek.
Manakala pengguna Rohayu Salleh957 berasa sedih dan mendoakan agar segala urusan dapat dipermudahkan bagi semua yang terbabit dalam kemalangan tersebut.
Bagi anda yang memandu, sila berhati-hati dan pastikan anda sentiasa berada dalam keadaan selamat. Jika mengantuk, elakkan dari memandu dan berehat seketika.
Semoga hal ini menjadi peringatan buat kita semua supaya lebih berwaspada apabila berada di jalan raya.
Kredit: mohdazriy
Baca Juga: Nak Elak Kena Marah Dengan Tuan Pokok, Lelaki Ini Cuba Cara Lain Untuk Ambil Buah Mangga