Kemanusiaan dalam diri bukan hanya terpalit dengan hal-hal yang besar. Cakna tentang orang sekeliling juga merupakan hal yang dituntut dalam menjalani hidup sebagai seorang manusia.
Berbuat baik dengan mereka yang memerlukan walaupun pada dasarnya tiada tali perikatan sememangnya hal yang patut diperluas.
Seperti sebuah kisah yang tular mengenai seorang wanita yang selalu berbuat baik kepada kawan sekolah anaknya dipuji ramai.
Menurut wanita yang juga merupakan seorang ibu dikenali sebagai Siti Hawa Mohd Zainuddin, dia menceritakan bahawa kawan anaknya itu merupakan anak yatim yang kehilangan ibunya walaupun baru berusia 11 tahun.
Selain daripada bekalkan makanan semasa kelas agama, dia juga mengirimkan sedikit wang untuk belanja kawan anaknya yang kesusahan itu.
“Saya tapaukan bekal sekolah agama untuk anak dan kawan anak. Kawan anak saya ni ibu dia dah meninggal dunia.. baru berusia 11 tahun.
“Saya tahu sebenarnya ada masa dia pergi sekolah agama tak bawa duit belanja.
“Kadang-kadang anak saya berkongsi makan bekal dengan kawan dia. Ada masa saya bagi extra duit belanja untuk kawan dia sekali,” tulisnya dalam perkongsian di laman Facebook Masak Apa Tak Jadi Harini.
Dia turut memuat naik sekeping gambar memaparkan dua bekas plastik berisi nasi putih, ikan goreng, sambal udang dan buah-buahan.
Berkongsi lebih lanjut, wanita ini berkata apa yang membuatkan dia sebak adalah apabila rakan anaknya itu memuji masakannya dan menghabiskan set bekal tersebut.
“Saya berkesempatan jemput dan hantar balik kawan anak ke rumahnya. Sampai di rumah, anak saya keluarkan bekas makanan yang saya bekalkan untuk mereka berdua.
“Anak beritahu saya yang kawan dia makan habis semua yang saya bekalkan. Sedap dia cakap. Allahukabar sebak rasanya apabila dengar anak bercerita. Bukan senang kehidupan seorang anak apabila kehilangan seorang ibu kan,” tulisnya lagi.
Ternayata perkongsian menyentuh hati itu turut sama mengundang rasa sebak warga maya yang seakan-akan dapat menyelami perasaan seorang kanak-kanak kehilangan ibu.
Dalam ruangan komen, ramai yang mendoakan wanita berkenaan kerana kemuliaan hatinya menyantuni anak yatim dengan menyediakan set bekal ini.
“Apa agaknya amalan arwah ibu kawan anak puan tu ya, hingga dapat kawan yang mempunyai ibu sebaik puan,” kata seorang netizen.
Semoga kebaikan seperti ini sentiasa tersebar luas kerana pada akhirnya, kasih sayanglah yang menyatukan manusia.
Sumber: Siti Hawa Mohdd Zainuddin
Baca juga: Spaghetti Goreng Pedas Yang Sesuai Untuk ‘Tekak Melayu’, Wanita Ini Kongsi Resipinya..