Daging Wagyu merupakan antara daging yang mendapat sambutan kebelakangan ini. Merupakan antara daging termahal di dunia, ramai yang ingin tahu mengapa harga daging Wagyu lebih mahal berbanding daging lembu yang lain.
Sebelum kita selongkar sebab mengapa harga daging Wagyu begitu mahal, jom kita kenali dahulu apakah itu daging wagyu. Wagyu merupakan daging yang berasal daripada lembu dari Jepun. ‘Wa’ bermaksud Jepun. Manakala ‘gyu’ pula bermakna lembu.
Terdapat empat baka lembu yang menghasilkan daging Wagyu iaitu Japanese Black, Japanese Brown, Japanese Shorthorn dan Japanese Polled. Daging Wagyu yang termahal merupakan daging Kobe yang berasal dari baka Tajima dan hanya diternak di wilayah Hyogo, Jepun.
Ramai menanyakan mengapakah harga daging Wagyu begitu mahal di pasaran. Apa yang membuatkannya begitu berbeza berbanding harga lembu lain. Seorang lelaki berkongsi sebab utamanya adalah cara peternakan.
Cara ternakan daging Wagyu sangat berbeza dengan baka-baka lembu yang lain. Ia perlu mengikuti garis panduan yang ditetapkan untuk mendapatkan label Wagyu yang diinginkan.
Apabila di ladang, anak lembu tersebut berada di dalam kandang dan dinamakan. Setiap lembu diberi sijil lahir yang membolehkan kita melihat baka mana, asal usul dan dibesarkan di kandang mana.
Makanan yang diberikan adalah serat yang bermutu tinggi dan diperbuat dari beras,gandum dan jerami sebanyak tiga kali sehari hingga mencapai berat 700kg.
Selain itu, bagi mengelakkan peredaran darah yang baik serta mengurangkan tekanan pada Wagyu, bulu-bulu mereka disikat dengan sikat yang keras.
Proses untuk menternak daging Wagyu pun nampak sangat rumit, kan? Sekarang dah tahu kenapa harga daging Wagyu begitu mahal!
Pernah menikmati daging Wagyu? Memang mahal tapi sangat berbaloi. Jom kongsi info ini kepada kawan-kawan yang nak cuba daging Wagyu nanti.
Kredit: Mohammad Amirul Hafis Azenan