Setiap negara mempunyai resepi ayam goreng masing-masing. Jika di Malaysia sudah terkenal dengan resepi ayam goreng Mamak dan ayam goreng kunyit, di Korea, mereka pun mempunyai resepi ayam goreng tersendiri dengan sos pedas, masam manis. Tapi selalu kita dengar mengenai ayam Korea, apa kata kita cuba pula resepi ayam goreng dari negara jiran iaitu Thailand?
Kalau anda nak cuba ayam goreng serai Thai, boleh lah cuba resepi ringkas dan mudah dari Nurul Ateekah. Guarantee memikat selera keluarga. Nak tahu? Jom baca perkongsian penuh olehnya.
Resepi Ayam Goreng Serai Thai
Bahan-Bahan
- 500 gram isi ayam dipotong kecil
- 2 batang serai (dipotong 2 cm dan ditumbuk hancur)
- 2 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar sos ikan
- 1 sudu kecil gula
- 2 sudu besar tepung jagung
- 5 helai daun limau purut dihiris
Bahan Ditumbuk Atau Dikisar Halus Tanpa Air
- 2 pokok akar ketumbar
- 2 sudu besar lada hitam
- 5 ulas bawang putih
Cara-Cara Penyediaan
- Sediakan mangkuk atau bekas, masukkan ayam dan kesemua bahan (Kecuali daun limau purut), serta bahan yang dikisar halus. Gaul sebati dan perapkan paling kurang selama 30 minit.
- Panaskan minyak, agak-agak boleh tenggelamkan ayam apabila digoreng nanti.
- Masukkan ayam dalam kuali panas dan goreng sehingga keperangan.
- Apabila ayam sudah masak, angkat dan masukkan ke dalam bekas. Serta taburkan daun limau purut yang telah dihiris tadi. Ratakan ayam bersama daun limau purut.
- Dah siap untuk dihidang.
Peminat masakan Thai dan ayam goreng wajib cuba. Tengok gambar pun dah rasa terliur. Bila ke dapur nanti, jangan lupa untuk cuba resepi mudah ini. Sangat enak!
Selamat mencuba.
Kredit: Nurul Ateekah
Baca Juga: Ini Dia Resepi Kerabu Kerang Ala Thai Yang Mudah Dan Sedap! Sekali Cuba Terus Ketagih!