Makanan Korea menjadi kegemaran ramai sejak akhir-akhir ini. Semenjak drama Korea mula ditayangkan di pelbagai saluran televisyen dan platform media, ramai yang tertarik melihat pelbagai pilihan makanan menarik seperti Kimchi, Japchae, Rabokki dan banyak lagi.
Namun masih ramai yang tak kenal dengan Hotteok atau Sweet Korean Pancake. Hidangan ini merupakan pankek yang mempunyai inti yang manis, sesuai dijadikan sarapan pagi atau pencuci mulut. Bagi anda yang ingin mencubanya, boleh ikuti resepi mudah yang telah dikongsikan oleh Husna Nasarudin.
Resepi Hotteok Atau Sweet Korean Pancake
Bahan-Bahan
- 1 cawan air suam
- 1 sudu kecil garam
- 1 1/2 sudu besar gula
- 2 sudu kecil serbuk yis
- 1 cawan tepung gandum (diayak)
- 1 cawan tepung pulut (diayak)
Bahan Inti
- 1 sudu kecil serbuk kayu manis
- 2 hingga 3 sudu besar gula perang
- 1 hingga 2 sudu besar kacang yang dicincang (boleh guna apa sahaja jenis kacang yang anda suka)
Cara Penyediaan
- Masukkan air suam, garam, gula, dan yis ke dalam mangkuk besar.
- Masukkan tepung gandum dan tepung pulut ke dalam mangkuk tadi dan gaul rata menggunakan senduk. Adunan memang lembik, jangan tambah tepung. Tutup mankuk menggunakan plastic wrap atau apa sahaja, dan biarkan selama sejam. Saya tutup dengan penutup periuk sahaja.
- Selepas sejam dan doh dah naik 2 kali ganda, gaul rata sekali lagi sambil buang angin dia. Kemudia tutup dan tunggu sepuluh minit lagi.
- Sambil itu, boleh sediakan inti. Campurkan sahaja semua bahan inti. Boleh juga letakkan nutella sebagai init. Sedap!
- Taburkan tepung gandum di atas dulang atau pinggan yang anda akan guna selepas bahagikan doh. Bahagikan doh kepada lapan bahagian. Jangan lupa untuk salut tangan anda dengan tepung gandum sebelum anda pegang doh, supaya tak melekat pada tangan. Masukkan inti ke dalam setiap bahagian doh.
- Goreng doh atas kuali leper yang sudah panas dan diletak minyak. Tak perlu goreng deep-fry tapi minyak kena letak sikit-sikit setiap kali doh diterbalikkan. Tekan-tekan doh bagi leper dan terbalikkan 2 hingga 3 kali supaya masak sekata.
- Dah boleh makan macam itu sahaja atau makan dengan ais krim vanilla dan drizzle madu atau sirap maple. Selamat mencuba!
Nampak ringkas sahaja resepi ini, kan? Anda juga boleh menggunakan pelbagai jenis inti pilihan anda. Resepi ini boleh diubah mengikut citarasa masing-masing jadi jangan takut untuk mencubanya.
Kredit: Husna Nasarudin
Baca Juga: Ini Cara Mudah Buat Sundubu Jjigae @ Tofu Beef Stew Korea Sendiri Di Rumah, Memang Sama Macam Di Dubuyo!