Sundubu jjigae merupakan sup yang terkenal dalam masakan Korea. Hidangan itu dibuat dengan dubu (tauhu) lembut, sayur-sayuran, kadang-kadang cendawan, bawang, makanan laut, daging, dan gochujang (pes cili Korea) atau gochu garu (serbuk cili Korea).
Di Malaysia, sup itu boleh didapati di kedai makan Korea. Antaranya di Dubuyo yang semestinya menjadi kegemaran peminat masakan Korea. Namun, restoran masakan Korea itu tidak berada di semua tempat jadi apa kata kita buat sundubu jjigae sendiri di rumah?
Walaupun dengar susah, sebenarnya mudah sahaja untuk membuat sundubu jjigae. Yang penting kena lah ada pes gochujang. Nak tahu caranya? Jom baca perkongsian oleh Nur Fairuza.
Resepi Sundubu Jjigae Yang Sama Macam Dubuyo
Bahan-Bahan
- 2 ulas bawang putih (tumbuk halus)
- Sedikit halia (tumbuk halus)
- 1/2 kiub pati ikan bilis
- 1 sudu makan pes gochujang
- Daging (dihiris nipis)
- Tofu jepun lembut
- Cendawan enoki
- Sedikit garam
- Secawan air
- Biji bijan
- Daun bawang
Cara Penyediaan
- Tumiskan bawang putih dan halia dengan sedikit minyak. Tak perlu terlalu garing.
- Letakkan pes gochujang. Memang akan berketul-ketul, kacau sahaja.
- Masukkan air secawan penuh atau ikut suka nak cair atau pekat. Kacau bagi pes itu larut.
- Masukkan kiub pati ikan bilis.
- Masukkan cendawan enoki, daging dan tofu. Buka api kuat sekejap, sambil itu boleh tambahkan garam. Tak perlu terlalu banyak sebab pes dah berperisa.
- Bila dah menggelegak atau daging masak sepenuhnya, tutup api. Taburkan daun bawang yang dihiris dan juga boleh tambah biji bijan. Siap untuk dihidang.
Rupanya mudah sahaja nak buat sundubu jjigae dengan sendiri di rumah, kan? Kalau rasa teringin, boleh lah ke dapur. Memang layan kalau makan ketika hari hujan, lagi best! Boleh juga pecahkan telur dalam sup kalau suka.
Selamat mencuba.
Kredit: Nur Fairuza
Baca Juga: Cara Buat Daging Bulgogi, Bila Makan Terbeliak Biji Mata Sebab Terlampau Sedap