Malaysia ini terkenal dengan aneka kuih-muih. Terdapat pelbagai jenis yang menarik untuk dicuba, antaranya adalah kuih kacang hijau atau juga dikenali sebagai kuih kasturi.
Walaupun sudah sekian lama, kuih tersebut masih lagi terkenal di kalangan rakyat Malaysia. Cara untuk menyediakannya ringkas sahaja, anda cuma perlu ikuti resepi kuih kacang hijau yang telah dikongsikan oleh Chesu Riani di grup Masak Apa Hari Ni.. (MAHN).
Resepi Kuih Kacang Hijau, Mudah Dan Masih Lagi Menjadi Kegemaran Ramai
Bahan-bahan
Bahan inti
- 300gm kacang hijau (dapatkan di sini)
- 1 cawan kelapa parut
- 1/2 cawan gula
- 1/3 cawan tepung gandum
- Sedikit garam
Bahan bancuhan tepung goreng
- 2 + 1/2 cawan tepung gandum
- 1/2 cawan tepung beras
- 1/3 sudu makan marjerin
- Air secukupnya
- Sedikit garam
- Pewarna kuning
- Minyak untuk menggoreng
Cara penyediaan inti
- Rebus kacang hijau sehingga agak empuk.
- Setelah agak empuk, keringkan sedikit air dan kemudian masukkan kesemua bahan yang lain di atas.
- Adun sebati. Kalau guna dapur gas, pastikan api kecil. Dah sebati semua, angkat inti dan sejukkan.
- Agak-agak bila dah sejuk untuk dipegang, bolehlah dibentuk bulat dan dileperkan. Susun di bekas yang sesuai. Untuk inti yang cantik dan mudah membentukkan inti, letakkan minyak masak sedikit di tapak tangan masa nak bulatkan.
- Kalau lama lagi nak menggoreng, boleh lah simpan dulu inti dalam peti ais.
Cara penyediaan kuih kacang hijau
- Bancuh kesemua bahan tepung goreng, jangan terlalu pekat dan terlalu cair.
- Masukkan inti kacang hijau yang telah dibentuk tadi. Sedang elok kalau nampak cantik dia salut inti tu. Selepas itu, goreng.
- Setelah garing, angkat dan toskan minyak.
- Siap untuk dinikmati
Ringkas dan mudah sahaja resepi ini, kan? Anda juga boleh menyediakan kuih kacang hijau di rumah dengan mengikuti resepi ini. Nanti sekali cuba sudah tentu nak lagi.
Selamat mencuba dan jangan lupa untuk kongsikan resepi ini pada kawan-kawan yang gemar dengan kuih tradisional.
Kredit: Chesu Riani via Masak Apa Hari Ni.. (MAHN)
Baca Juga: Kuih Tradisional Ini Susah Nak Cari? Ini Caranya Untuk Buat Sendiri Kuih Abuk-Abuk Di Rumah