Alam perkahwinan tak semuanya indah. Malah, setiap pasangan akan diduga dengan pelbagai cabaran. Kadang-kadang hal itu boleh membuat ramai orang berasa putus asa, akhirnya berpisah.
Ada kalanya cabaran terbesar yang dihadapi oleh setiap pasangan adalah tak lain tak bukan restu ibu bapa. Tak semua hubungan direstui oleh mereka. Ini kerana mereka hanya mahukan yang terbaik buat anak-anak tapi jika percaya pada jodoh dan takdir Tuhan, lama-kelamaan, hati mereka akan lembut. Paling penting, kita tidak pernah berhenti berdoa dan berusaha untuk meyakinkan mereka.
Terbaharu, seorang wanita (identiti dirahsiakan) telah berkongsi kisah hidupnya yang sangat menyayat hati. Seperti insan lain, dia turut menghadapi cabaran yang sangat berat ketika ingin mendirikan rumah tangganya.
Walaupun sekarang ini sedang berbahagia, malah mempunyai perniagaan sendiri, menurut wanita itu, perkahwinannya dengan suami tidak direstui oleh ayahnya suatu ketika dahulu.
Meskipun hal itu perit, dia redha namun tetap nekad untuk berkahwin dengan pilihannya. Akhirnya, ayahnya juga terpaksa akur dengan keputusan itu.
Setelah beberapa tahun berlalu, wanita itu bersyukur dengan kegigihan dan keikhlasan suaminya yang sedia membantu bapanya tanpa jemu. Mengusahakan sebuah perniagaan kedai makan, hal itu tidak mudah buat bapanya tapi pada setiap pagi, pasangan tersebut akan ke sana bagi meringankan bebannya.
Mengimbau kisah itu, wanita tersebut berasa terharu ketika melihat suaminya sibuk membantu di kedai bapanya. Dia juga meluahkan rasa berterima kasih pada suaminya kerana sangup menghadapi susah dan senang bersama.
Menjengah di ruangan komen, orang ramai berasa terharu melihat hal yang telah dikongsikan itu. Mereka turut mendoakan agar pasangan itu terus kekal bersama sehingga ke Syurga dan dimurahkan rezeki selalu.
Restu ibu bapa itu amatlah penting dalam semua perkara, terutamanya perkahwinan tapi adakalanya rahsia Tuhan ini tiada siapa yang tahu. Jika anda sedang bergelut dengan cabaran sebegini, jangan mudah putus asa. Yakin dengan pilihan anda dan cuba yakinkan kedua-dua ibu bapa. Lama-kelamaan hati mereka yang keras tentu akan berlembut juga.
Baca Juga: Jumpa Benda Tajam, Lelaki Ini Terus Hilang Selera Nak Makan Nasi Kandar Di Kedai Mamak