Restoran tempatan iaitu Teh Tarik Place telah tampil untuk memberikan teh tarik dan makanan percuma kepada 30 para atlet negara yang telah mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.
Tidak mengira status sebagai pemenang atau sebaliknya, restoran tersebut ingin menghargai segala jasa dan pengorbanan para atlet yang telah bertungkus lumus untuk mengharumkan nama negara.
Teh Tarik Place mempunyai 14 cawangan di seluruh negara dan dua cawangan di Brunei.
Ianya sebagai tanda penghormatan kepada para atlet negara yang telah berjuang dengan penuh semangat untuk memastikan bendera Malaysia berkibar megah sepanjang Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.
Pengerusi Eksekutif Techna-X Berhad, Y.A.M Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar mengakui pengorbanan, semangat, dan dedikasi yang telah ditunjukkan oleh kesemua para atlet negara.
Tambah beliau, walaupun ada golongan minoriti yang meragui atlet negara, namun majoriti rakyat Malaysia sangat berbangga dengan kejayaan mereka.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Craveat International, Lee Yew Jin turut menyatakan penghargaannya kepada semua atlet negara atas usaha dan semangat juang mereka pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih, kami mengumumkan pemberian seumur hidup berupa teh tarik serta produk makanan kepada semua Olimpian Negara (pada Sukan Olimpik Tokyo 2020),” jelasnya.
Teh Tarik Place merupakan anak syarikat Craveat International yang merupakan satu kumpulan syarikat yang dimiliki oleh Techna-X Berhad.
Kredit: Teh Tarik Place
Baca Juga: “Syak Dia Suka Cakap Bohonglah..”, Perkongsian Rupa Sayur Terung Yang Pelbagai Undang Tawa Warganet