Sotong enak dijadikan pelbagai lauk. Bukan sahaja sambal dan digoreng celup tepung, kari sotong juga merupakan lauk makan tengah hari dan makan malam pilihan ramai. Lain dari yang lain, kari sotong mempunyai rasa yang sedikit manis berbanding kari yang lain.
Jika anda ingin mencubanya, ikuti resepi kari sotong yang telah dikongsikan oleh Nordiana Mohamad di grup Masak Apa Hari Ni.. (MAHN). Nampak mudah dan amat menyelerakan, bahan-bahannya juga mudah didapati. Jika anda tiada sotong segar di dalam peti ais, boleh juga menggunakan sotong kembang yang dijual dengan harga lebih murah. Jom baca perkongsian ini dengan lebih lanjut.
Resepi Kari Sotong
Bahan-Bahan
- 10 hingga 12 biji bawang merah (dikisar)
- 5 ulas bawang putih (dikisar)
- Halia saiz ibu jari (dikisar)
- 3 batang serai (ketuk titik-titik)
- 2 ekor sotong kembang (hiris segi empat)
- Minyak masak secukupnya
- 125gram serbuk kari jenama ini (jadikan pes)
- Air
- Gula
- Garam
- Ajinomoto
Cara Penyediaan
- Panaskan minyak masak dalam kuali. Tumis bahan kisar dan serai sehingga naik bau.
- Kemudian, campurkan sedikit air dan serbuk kari untuk dijadikan pes, letakkan dalam bahan yang ditumis dan kacau sehingga pecah minyak.
- Masukkan hirisan sotong kembang dan gaul sampai rata. Biarkan sebentar supaya tumisan kasri serap masuk dalam hirisan sotong.
- Kemudian, masukkan air secukupnya, gula, garam dan sedikit ajinomoto.
- Rasakan, pastikan rasa manisnya lebih.
- Masak sampai kuah menjadi pekat.
- Siap untuk dinikmati.
Kan dah kata resepi ini tersangat mudah! Kalau anda sudah bosan dengan sotong celup tepung dan sambal sotong, wajib mencuba resepi kari sotong yang ringkas ini. Bila dimakan bersama sepinggan nasi putih, dijamin akan sentiasa menambah nasi.
Selamat mencuba!
Kredit: Nordiana Mohamad di grup Masak Apa Hari Ni.. (MAHN)
Baca Juga: Cara Buat Sos Spaghetti Frozen, Buat Banyak Terus. Boleh Tahan 2 Tahun Tanpa Perubahan Rasa