Orang Malaysia sangat gemarkan sambal. Malah, macam-macam jenis sambal yang telah berjaya dihasilkan. Ia juga menjadi menu pilihan ramai ketika makan tengah hari dan makan malam.
Teramat ringkas, di sini kami ingin berkongsi resepi sambal ikan meletop yang sangat mudah untuk disediakan. Ia telah diolah oleh Umi Watie dan dimuat naik di grup Masak Apa Hari Ni.. (MAHN). Mudah saja, jom ketahui caranya.
Resepi Sambal Ikan Meletop, Menu Kesukaan Ramai. Sekali Cuba Terus Jatuh Cinta
Bahan-bahan
- Ikan (ikut nak guna ikan apa pun)
- Garam
- Serbuk kunyit
- 1 biji bawang merah (dikisar)
- 1 ulas bawang putih (dikisar)
- 1/4 inci halia (dikisar)
- 4 sudu besar pes cili kering
- 2 sudu besar sos tomato – guna jenama ini
- 2 sudu besar sos cili
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar kicap manis
- 1/4 cawan air
- Bawang merah (dihiris)
- 1 sudu kecil gula
- Minyak masak
Cara-caranya
- Lumurkan ikan yang telah dibersihkan dengan garam secukupnya dan serbuk kunyit. Goreng sehingga garing. Angkat dan toskan minyak, ketepikan.
- Dengan baki minyak gorengan ikan (buang sedikit kalau terlalu banyak), guna untuk tumiskan bawang merah, bawang putih, halia dan pes cili kering.
- Tumiskan bahan kisar tadi sehingga pecah minyak. Selalu kacau-kacau supaya tidak hangit. Selepas itu, tambahkan sos tomato, sos cili, sos tiram dan kicap manis.
- Masukkan air. Biarkan merenih dan sambal sedikit memekat.
- Bila sambal nampak dah memekat, bolehlah masukkan ikan goreng tadi. Tak perlu tambahkan garam, sebab sos tiram dan ikan goreng kita dah masin.
- Tambahkan hirisan bawang merah.
- Akhir sekali, letakkan gula. Kacau semua rata. Kalau kurang masin boleh tambahkan garam. Sambal ini perlu seimbang.
- Gaul lagi sehingga rata kesemuanya dan siap untuk dihidangkan.
Akhirnya dah siap sambal ikan meletop ini. Sebenarnya tak ramai yang tahu cara nak buat sambal ikan ini. Walaupun nampak mudah tapi ada langkah-langkah dan bahan-bahan yang menjadikannya ekstra sedap. Semuanya telah dikongsikan di sini.
Selamat mencuba resepi ini dan kongsikannya!
Kredit: Umi Watie di grup Masak Apa Hari Ni.. (MAHN)
Baca Juga: Sedap Sangat Sampai Lupa Diet, Wanita Ini Kongsi Resepi Kerabu Petai Yang Jadi Kesukaan Ramai